Pemilihan UMNO: Khairy belum fikir untuk bertanding
Dewi Nur Harasha Alias
April 1, 2021 21:15 MYT
April 1, 2021 21:15 MYT
GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin memaklumkan beliau belum membuat sebarang keputusan berhubung jawatan yang akan dipertandingkan pada Pemilihan UMNO.
Menurut Khairy, keputusan mengenai perkara itu hanya akan diputuskan selepas Majlis Tertinggi (MT) parti itu memuktamadkan keputusan sama ada mahu mengadakan pemilihan tersebut pada tahun ini atau menangguhkannya.
Pada masa yang sama beliau menegaskan bahawa Majlis Tertinggi UMNO sepatutnya mengadakan pemilihan parti itu pada tahun ini dan tidak lagi menangguhkannya.
"Saya nak supaya ada keputusan ada pemilihan dahulu, lepas tu (baru) kita fikir nak bertanding.
"Ya, sekarang ni belum ada keputusan MT nak tangguh ataupun nak adakan pemilihan, yang pokoknya, MT kena buat keputusan, jangan tangguhkan pemilihan, adakan pemilihan baru," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan sama ada akan bertanding sekali lagi jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu nanti.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sebelum ini pernah bertanding jawatan tersebut sewaktu pemilihan bagi penggal 2018-2021, namun tewas apabila hanya mendapat 61 undi berbanding Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendapat 99 undi.
Pemilihan UMNO sepatutnya diadakan tahun lalu selaras dengan Perhimpunan Agung UMNO 2020 namun ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.