Pemilihan UMNO: Jangan londehkan sesama sendiri - Saarani
Abd Razak Mohd Ali
Mac 1, 2023 15:51 MYT
Mac 1, 2023 15:51 MYT
IPOH: Semua calon yang menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan UMNO peringkat bahagian di Perak diingatkan supaya bertanding secara sihat.
Mereka juga dinasihatkan supaya jangan bertindak melondehkan sesama sendiri.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mereka hanya perlu menawarkan diri untuk memberi khidmat kepada parti.
"Kalau ada manifesto, barangkali boleh sebutlah apakah yang akan kita buat kalau kita diberi mandat tanpa perlu kita menyindir, tanpa perlu kita melukakan hati orang, tanpa perlu kita menidakkan jasa yang telah dibuat oleh orang lain.
"Sebab kita ada kelemahan dan kelebihan. Jadi itulah sebaik-baiknya kita nak memimpin. Dan ingatan saya sekali lagi, jangan kita saling melondehkan antara satu sama lain," katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Pra Pelancaran Bulan Wanita Perak 2023 dan Penyerahan Geran Penerbitan Ilmiah Perak Sejahtera 2030 di Pejabat Menteri Besar di Ipoh, pada Rabu.
Menurutnya, sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, UMNO membenarkan setiap ahlinya untuk menawarkan khidmat khidmat masing-masing.
Terdahulu, beberapa pemimpin muda di Perak telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua UMNO bahagian, antaranya di Tambun dan Bukit Gantang.
Dalam pada itu, Saarani menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Lenggong, bersama-sama Timbalan, Datuk Tarmizi Idris dan Naib, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.