Pemilihan UMNO: Calon tanding peringkat nasional diumum malam ini - Ahmad Zahid
Bernama
Mac 2, 2023 20:59 MYT
Mac 2, 2023 20:59 MYT
KOTA TINGGI: Senarai calon yang akan bertanding di peringkat nasional dalam pemilihan UMNO akan diumumkan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui ramai calon telah menawarkan diri dalam pemilihan kali ini.
"Malam ini buat pertama kalinya saya akan mengadakan majlis memperkenalkan calon-calon yang akan bertanding di peringkat nasional.
"Kita ketahui bahawa ramai yang berminat untuk bertanding, saya sendiri walaupun InsyaAllah tidak perlu bertanding (jawatan Presiden) bersama Timbalan Presiden, kami tetap akan bersama-sama, memperlihatkan kebersamaan kami dengan calon-calon yang menawarkan diri," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, turut melawat kawasan terjejas banjir di daerah ini dan PPS Sekolah Kebangsaan Datuk Usman Awang di sini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Pemilihan UMNO diadakan mulai 1 Feb hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan pada 1 hingga 26 Feb ini.
-- BERNAMA