Pemilihan UMNO bermula 1 Februari ini
Sinar Harian
Januari 27, 2023 07:00 MYT
Januari 27, 2023 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pemilihan UMNO akan diadakan bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan ialah pada 1 Februari hingga 26 Februari 2023, iaitu selama 26 hari.
Menurutnya, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2023.
"Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac 2023 (Sabtu)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, mesyuarat MKT UMNO dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat turut bersetuju melantik Tan Sri Shahrir Ab Samad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023 (JPU 2023) dan Datuk Mustapha Yaakub sebagai Setiausaha JPU 2023.
Katanya, tarikh pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan di Bahagian dan Pusat bermula pada 13 Februari 2023 dan ditutup pada 26 Februari 2023 jam 5 petang.
Pada masa sama, Ahmad turut mengumumkan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang baharu. -Sinar Harian