Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru diadakan 27 Mei ini
Bernama
Mei 5, 2023 13:41 MYT
Mei 5, 2023 13:41 MYT
JOHOR BAHRU: Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang ditangguh dan digantung sejak 18 Mac lepas akan diadakan pada 9 pagi, 27 Mei ini.
Perkara itu disahkan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Abdul Halim Suleiman, namun beliau berkata lokasi pemilihan masih belum dimuktamadkan kerana ia tertakluk kepada caretaker UMNO Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
"Kita (UMNO Johor) diberikan tanggungjawab untuk menyelaras perkara itu, namun UMNO Bahagian Johor Bahru akan mengeluarkan notis dalam tempoh 14 hari," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata proses pemilihan itu akan melibatkan kesemua jawatan di peringkat Bahagian termasuk Pengerusi Tetap, Ketua Bahagian dan Ketua Sayap.
Pada 18 Mac lepas, proses pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru dilaporkan ditangguh dan digantung selepas terdapat dakwaan kertas undi melebihi daripada jumlah perwakilan yang hadir.
Pada 1 April lepas, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor berkata proses pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang ditangguh dan digantung akan diambil alih oleh Badan Perhubungan UMNO negeri.
Sebelum ini, proses pemilihan UMNO dikendalikan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU).
-- BERNAMA