Pemilihan UMNO: Ahmad Zahid nafi campur tangan luar selamatkan parti

Hasimi Muhamad
Mac 9, 2023 14:24 MYT
Ahmad Zahid dalam sidang media di Lobi Parlimen pada Khamis menafikan tuduhan segelintir pihak bahawa UMNO memerlukan campur tangan luar untuk menyelamatkan parti Melayu itu. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan tuduhan segelintir pihak bahawa UMNO memerlukan campur tangan luar untuk menyelamatkan parti Melayu itu.
Presiden UMNO itu berkata keputusan pengecualian kepada UMNO membabitkan usul tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, adalah termaktub mengikut klausa dalam Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), dan memerlukan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk mengabsahkan sesuatu keputusan.
"Tak ada campur tangan luar kerana dua pengadu mencabar usul dikemukakan di Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) dan usul itu diteliti oleh Pengerusi Tetap yang mengikut semua peraturan dalam Perhimpunan Agung and semua fasal dalam Perlembagaan.
"Perlu diketahui bahawa badan tertinggi (UMNO) adalah Perhimpunan Agung. Namun, apabila Perhimpunan Agung sudah buat keputusan dan keputusan itu diterima lebih 95 peratus perwakilan, maka kita masih santuni aduan yang dibuat oleh dua ahli UMNO itu.
"Kita (UMNO) terus berikan segala maklum balas yang diterima RoS. Kita rasakan ini bukan soal campur tangan pihak luar tetapi ini suatu klausa Akta Pertubuhan 1966 yang antara lain, bahawa RoS perlu berikan keabsahan terhadap sesuatu keputusan.
BACA: Pemilihan UMNO: Saifuddin nafi buat keputusan peribadi, boleh cabar di mahkamah
"Ini kita terima kerana ianya akta diluluskan oleh Parlimen," katanya dalam sidang media, di Lobi Parlimen pada Khamis.
Mengenai pandangan bekas pemimpin UMNO yang mendakwa ada sesuatu tidak kena dengan pengeculian tersebut, Timbalan Perdana Menteri itu menganggap ia adalah pandangan peribadi.
Pemilihan UMNO | Terima usul tambahan, Saifuddin belum lihat surat RoS lagi
"Sebagaimana yang disebut oleh Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), jika ada yang tak puas hati maka mereka boleh buat aduan ke mahkamah," tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Pada Rabu, Saifuddin Nasution menafikan membuat keputusan secara peribadi berhubung pengecualian terhadap UMNO.
Sebaliknya, beliau berkata mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan pengecualian berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, boleh membawa perkara itu di mahkamah.
Katanya, pengecualian tersebut adalah selaras dengan Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, dan dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk penasihat undang-undang di kementeriannya.
#Pemilihan UMNO #Zahid Hamidi #Saifuddin Nasution #Jabatan Pendaftaran Pertubuhan RoS
;