Pemilihan seorang raja sebagai Pengerusi MKI dapat elak Islam dipolitikkan - Afifi Al-Akiti

Israr Khalid
Mac 14, 2022 06:00 MYT
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilantik menjadi Pengerusi MKI yang baharu. - Foto Facebook/Selangor Royal Official
KUALA LUMPUR: Pelantikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dilihat sebagai langkah yang tepat dalam usaha membebaskan agama Islam daripada menjadi alat politik.
Kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam dan Felo Pusat Pengajian Oxford, Datuk Afifi Al-Akiti, ia sekaligus dapat memperkukuhkan lagi badan itu sebagai penyelaras dan penasihat induk hal ehwal Islam negara ini.
Sebelum ini sejak penubuhan badan itu pada 1968, jawatan itu digalas oleh rakyat jelata daripada golongan mufti dan ahli akademik yang pastinya tidak dapat dielak daripada dipengaruhi unsur kepentingan politik parti pemerintah.
“Bila saya kata untuk elak Islam daripada dipolitikkan tidak bermakna Islam itu tiada kaitan dengan politik.
“Cumanya kita tidak mahu ia diparti politikkan, kerana setiap parti yang ada memang ada ijtihad, pandangan mereka tentang apa polisi yang seharusnya dibuat mengikut kaca mata mereka.
“Jadi di sinilah penting peranan Raja-Raja kita sebagai satu sosok apolitikal, unsur parti politik itu tidak masuk dalam bab-bab urusan agama Islam kita.”
Menurut Dr. Afifi, kerana itu kita lihat contoh di mana kebanyakan negeri-negeri beraja seperti Johor, Selangor dan Perak, ahli-ahli politik tidak boleh masuk ke dalam masjid untuk ceramah dan tidak boleh gunakan platform khutbah Jumaat itu untuk mengeluarkan kenyataan tentang polisi atau siasah.
Harus diingat, katanya, bahawa agama Islam itu adalah agama untuk semua dan bukannya untuk golongan-golongan tertentu sahaja.
“Ini adalah saranan dan antara maqasid di sebalik kenapa ada pembaharuan yang terpenting dan terbaharu ini.”
Tonton temu bual penuh bersama Dr. Afifi dengan hos Essan Yahya dalam program Agenda AWANI, di sini:
Pemilihan raja sebagai Pengerusi MKI dapat elak Islam dipolitikkan - Afifi al-Akiti
Agenda AWANI: Pembaharuan institusi Islam negara
#Sultan Sharafuddin Idris Shah #MKI #agama islam #alat politik
;