Pemilihan Presiden UMNO: Pilih tokoh yang boleh membawa perubahan - Tok Pa

Muhafandi Muhamad
Jun 27, 2018 09:18 MYT
MUSTAPA: UMNO kini berada dalam keadaan sukar yang memerlukan tokoh pemimpin yang boleh menambat hati rakyat. - BERNAMA/Fail
Badan perhubungan UMNO Kelantan mengharapkan pemilihan presiden dan timbalannya benar-benar memihak kepada tokoh yang boleh membawa perubahan kepada parti, sekaligus dapat meletakkan UMNO pada landasan yang betul.
Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, UMNO kini berada dalam keadaan sukar yang memerlukan tokoh pemimpin yang boleh menambat hati rakyat.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sokongannya kepada mana-mana calon Presiden, mahupun Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin atau pemangku presiden dan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Kita nak yang terbaik, yang mampu tingkat keyakinan rakyat, mampu buat pembaharuan dalam UMNO, mampu menjadikan UMNO menarik bukan setakat kepada ahli sahaja tetapi orang luar. Ini tugas berat," katanya.
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu juga menzahirkan sokongan kepada sesiapa sahaja yang bakal dipilih mengetuai UMNO pada pemilihan parti Sabtu ini.
Setakat ini, tiga wakil dari Kelantan telah memenangi jawatan dalam pemilihan parti minggu lalu, termasuk Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (Ketua Pemuda UMNO), dan Ketua Puteri Bahagian Kubang Kerian, Nurul Amal Muhamad Fauzi (Naib Ketua Puteri UMNO) yang juga merupakan Setiausaha Puteri UMNO Kelantan.
Dalam perkembangan berkaitan, UMNO Kelantan turut berharap Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) melantik senator dari Kelantan sebagai wakil penghubung Kerajaan Persekutuan dan negeri itu.
"Kalau ada khabar angin Kelantan tak ada wakil, amat malang lah. Saya tahu (ada) banyak saluran untuk menyampaikan (isu) tetapi kalau ada seorang (wakil Kelantan) dalam Kabinet, ia akan kukuhkan kedudukan rakyat negeri ini.
"Kita harap apa yang viral tidak benar," kata Mustapa.
Sebelum ini, tular dalam media sosial bahawa pelantikan menteri dan timbalan menteri Kabinet yang bakal diumumkan pada 2 Julai nanti, tidak mempunyai wakil senator dari Kelantan.
Tambah Mustapa, walaupun PH di Kelantan tidak menyumbang sebarang kerusi di Dewan Rakyat, namun amat penting untuk Kelantan mempunyai wakil penghubung antara negeri dan juga pusat.
#Mustapa Mohamed #Pemilihan UMNO #UMNO Kelantan
;