Pemilihan Presiden MIC 6 Sept, penamaan calon 21 Ogos
Bernama
Julai 25, 2015 15:34 MYT
Julai 25, 2015 15:34 MYT
Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Sementara MIC 2009, yang memihak kepada pemangku presiden parti Datuk Seri Dr S.Subramaniam, menetapkan 6 Sept sebagai tarikh untuk mengadakan pemilihan presiden parti itu.
Setiausaha Agung MIC A.Sakthivel berkata pada mesyuaratnya semalam, jawatankuasa itu juga menetapkan 21 Ogos sebagai tarikh penamaan calon.
"CWC Sementara MIC itu juga meluluskan resolusi melarang pemimpin MIC di semua peringkat daripada menghadiri sebarang majlis anjuran CWC haram (diketuai bekas presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel).
"CWC Sementara 2009 itu turut memutuskan bahawa mana-mana anggota yang melibatkan diri dengan pencalonan atau pemilihan yang diadakan CWC haram ini boleh dikenakan tindakan disiplin dan boleh disekat hak mereka untuk menyertai pencalonan dan pemilihan yang diadakan CWC Sementara rasmi 2009," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sakthivel berkata, menurut perlembagaan MIC, presiden parti itu dipilih oleh semua pengerusi cawangan dan pencalonan peringkat cawangan yang diadakan dari 10 hingga 12 Julai menyaksikan 2685 pengerusi cawangan mengemukakan pencalonan mereka.
Katanya, Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian Pemilihan Cawangan Negeri, yang diamanahkan tugas menyiasat dan membuat keputusan tentang pertikaian dan rayuan, mengesyorkan agar 260 cawangan lagi dibenarkan memfailkan pencalonan mereka.
"1 Ogos ditetapkan sebagai hari penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, ia akan diadakan pada 9 Ogos," katanya.
Sebelum ini, kem Palanivel meminta pencalonan bagi jawatan presiden parti itu diadakan pada 2 Ogos.
Parti berusia 68 tahun in berpecah dua berikutan perbezaan pendapat yang tercetus antara Palanivel dan Dr Subramaniam selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengeluarkan notis pada 5 Dis tahun lepas yang meminta parti mengadakan pemilihan semula.