Pemilihan PKR: Zuraida mahu tindakan segera terhadap dakwaan penyelewengan

Bernama
Oktober 29, 2018 05:02 MYT
ZURAIDA: Apa yang berlaku di pemilihan parti di Kuala Selangor baru-baru ini sangat melemahkan semangat orang Kuala Selangor sebab mereka telah banyak berusaha membuat persiapan. - BERNAMA/Fail
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin pada Isnin menyeru agar tindakan serius dan pantas diambil terhadap dakwaan berlaku penyelewengan dalam pemilihan peringkat cabang PKR yang berakhir baru-baru ini bagi mengelak terus berlaku kelewatan dalam proses pemilihan.
Beliau juga meminta para pemimpin parti itu supaya berhenti daripada bersikap gemar membuat penafian apabila dakwaan serius dibuat terhadap PKR dan pemilihan di beberapa tempat belum selesai diadakan.
Dakwaan yang dibuat ialah berkaitan amalan politik wang, kehilangan undi dan malah, penggunaan alat penyekat talian Internet bagi melakukan sabotaj terhadap proses pemilihan, katanya.
"Saya tidak terperanjat ia (pemilihan) diadakan begitu awal di tempat lain. Tapi, saya sungguh terperanjat apabila mereka membatalkan pemilihan bagi Kuala Selangor.
"Sesuatu yang amat melemahkan semangat orang Kuala Selangor kerana mereka sudah menyusun dan membuat persiapan yang memerlukan banyak usaha...
"Kemudian kami perlu mengadakannya semula, ini sesuatu yang amat tidak boleh diterima," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini.
BACA: Pemilihan PKR cabang Kuala Selangor ditangguh
BACA: Konflik pemilihan PKR, bunyinya seperti BN - Zuraida
Zuraida berkata demikian apabila diminta mengulas keputusan parti itu membatalkan pemilihan bagi cabang PKR Kuala Selangor pada Ahad setelah timbul dakwaan bahawa alat penyekat Internet digunakan bagi melakukan sabotaj terhadap proses pemilihan.
Beliau tidak menolak kemungkinan pemilihan baharu akan diadakan di Melaka susulan laporan berlaku kehilangan undi akibat kelemahan sambungan Internet.
BACA: Pakar IT sahkan 2,000 undi hilang akibat capaian internet lemah
BACA: Fasa terakhir pemilihan PKR di Selangor
"Kami juga tidak tahu apa yang akan berlaku di Sabah dan Sarawak kerana di kawasan luar bandar serta pedalaman Sabah dan Sarawak, liputannya (Internet) tidak begitu baik dan kata mereka, proses secara luar talian akan digunakan.
"Saya berasa ragu. Ia mungkin menimbulkan lebih banyak masalah (dan) lebih banyak kelewatan dalam pemilihan," katanya.
Menyentuh tentang cakap-cakap bahawa beberapa ahli Parlimen UMNO akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekutu PKR dalam Pakatan Harapan (PH), Zuraida berkata ia adalah antara perkara yang akan dibincang pada mesyuarat PH Sabtu ini.
-- BERNAMA
#40 Ahli Parlimen #alat penyekat #batal pemilihan #Bersatu #Internet #Kuala Selangor #Pakatan Harapan #pemilihan PKR #PKR #sabotaj #UMNO #Zuraida Kamaruddin
;