Pemilihan PKR: Zuraida dakwa wujud tangan ghaib
Sinar Harian
November 9, 2018 11:16 MYT
November 9, 2018 11:16 MYT
Notis pemilihan semula tiga cabang parti di Sabah oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR menunjukkan seolah-olah wujud tangan ghaib dalam parti itu.
Calon Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin berkata, tangan ghaib itu mengawal pemilihan untuk kepentingan diri.
"Proses pemilihan Cabang Tawau, Pensiangan dan Keningau telah berlangsung mengikut tatacara yang betul.
"Namun JPP mengarahkan untuk mengadakan semula pemilihan dengan alasan tidak munasabah," katanya.
Menurutnya, ahli parti sudah muak dengan drama politik yang tidak berkesudahan.
"Ada calon yang sering melakukan provokasi dan mengadu domba dalam usaha untuk meraih sokongan," katanya.
Beliau berkata, ahli parti tidak mahukan kepimpinan yang tidak boleh berdikari dan mengharap sokongan dari pihak-pihak tertentu semata-mata bagi memastikan cita-cita peribadi mereka tercapai.
"Adalah penting untuk setiap anggota memilih calon yang dapat membingkai muafakat dalam usaha memperkukuhkan parti dan melaksana reformasi dalam erti kata yang sebenar.
"Saya dengan ini menyeru anggota PKR di Jelebu (Negeri Sembilan), Kuala Selangor (Selangor), Keningau (Sabah), Tawau (Sabah), Pensiangan (Sabah), Alor Gajah (Melaka), Masjid Tanah (Melaka), Tangga Batu (Melaka), Kota Melaka (Melaka), Jasin (Melaka) dan seluruh Negeri Sarawak yang bakal diadakan pemilihan pada hujung minggu ini untuk turun mengundi," katanya.
Rabu lalu, JPP Sabah mengeluarkan notis agar pemilihan semula diadakan di tiga cabang tersebut berikutan menerima banyak bantahan termasuk laporan polis.
#calon naib presiden
#Keningau
#Kuala Selangor
#Negeri Sembilan
#PKR
#politik
#tangan ghaib
#Tawau
#Zuraida Kamaruddin