Pemilihan PKR: Fahmi, Farhash bertanding jawatan Naib Presiden

Sinar Harian
April 11, 2022 11:09 MYT
Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil ketika sidang media selepas mengemukakan borang pencalonan pada Majlis Pencalonan Peringkat Jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini. - Foto BERNAMA
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak masing-masing mengumumkan bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti itu penggal 2022/2025.
Bercakap kepada pemberita selepas mengisi borang pencalonan, Fahmi menyatakan bahawa beliau gementar apabila mahu bertanding untuk jawatan berkenaan.
“Kalau sebelum ini saya selalu mengiring pimpinan yang lain, tetapi kali ini saya diiring. Harapan saya (adalah) untuk pertandingan yang sihat dengan meraikan demokrasi,” katanya di ibu pejabat PKR pada Isnin.
Pengarah Komunikasi PKR itu menambah, sekiranya dipilih sebagai Naib Presiden, beliau akan berusaha untuk mengukuhkan struktur parti.
“(Bagi) memastikan bahawa segala yang telah berlaku selepas Langkah Sheraton itu bukan sahaja kita bersihkan tetapi kita bina yang lebih baik daripada yang dahulu,” katanya.
BACA: Pemilihan PKR: Amirudin Shari umum bertanding Naib Presiden
Menurutnya, pemilihan parti itu kali ini juga merupakan suatu peluang yang baik untuk pimpinan dan akar umbi mengukuhkan saf.
“Di samping kita bercakap soal pemilihan, kita juga mengaktifkan akar umbi untuk berhadapan dengan kemungkinan pilihan raya pada bila-bila masa,” jelasnya.
Sementara itu, Farhash Wafa pula menyatakan beliau akan memberikan saingan yang terbaik bagi jawatan Naib Presiden PKR selain cuba memberikan servis kepada parti dan rakyat.
Artikel asal di Sinar Harian
#Fahmi Fadzil #Ahli Parlimen Lembah Pantai #pemilihan PKR #naib presiden pkr #Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak #Parti Keadilan Rakyat