Pemilihan PKR 2022: Rafizi dahului Saifuddin jawatan Timbalan Presiden
Bernama
Mei 30, 2022 15:11 MYT
Mei 30, 2022 15:11 MYT
KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli mendahului Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR 2022, setelah keputusan pengundian di semua negeri dikeluarkan hari ini.
Keputusan tidak rasmi yang dikemas kini melalui laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022 itu menyaksikan, Rafizi yang sebelum ini merupakan Naib Presiden yang dilantik memperoleh sebanyak 68,451 undi berbanding Saifuddin dengan 48,223 undi.
Bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang direbut oleh dua aktivis menyaksikan Adam Adli Abd Halim mendahului dengan meraih 13,749 undi, berbanding Fahmi Zainol dengan 11,674 undi.
Sementara itu bagi jawatan Ketua Wanita pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga Rodziah Ismail mendahului dengan meraih 21,690 undi.
Pencabarnya Senator Fadhlina Sidek mengekori rapat dengan 21,201 undi.
Pemilihan PKR 2022 berakhir dua hari lepas, setelah menyaksikan pengundian semula di 12 cabang melibatkan beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Sabah.
Pengumuman keputusan rasmi akan dibuat di Kongres Parti Keadilan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini.
-- BERNAMA
#pemilihan PKR
#Rafizi Ramli
#Saifuddin Nasution
#Timbalan Presiden PKR
#Anwar Ibrahim
#berita Malaysia