Pemilihan PKR 2022: Pengundian di P. Pinang berjalan lancar, hanya ada 'kecoh adik-beradik'

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 16, 2022 17:27 MYT
Pengundian secara fizikal bagi Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 di 13 cabang di Pulau Pinang hari ini berjalan lancar. - Astro AWANI
SEBERANG JAYA: Pengundian secara fizikal bagi Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 di 13 cabang di Pulau Pinang hari ini berjalan lancar.
Pengerusi PKR Negeri, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik memaklumkan proses pengundian bermula jam 9 pagi hingga 5 petang tadi dalam suasana aman dan terkawal meskipun ada kawasan yang sedikit ‘panas’.
Muhammad Bakhtiar berkata, ‘kekecohan’ kecil dilaporkan berlaku di Cabang Bayan Baru dan ia disifatkan sebagai ‘kekecohan adik-beradik’ namun tiada pergaduhan fizikal.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ahli PKR yang berdaftar untuk mengundi atas talian akan menjalankan tanggungjawab mereka bermula pada 18,19 dan 20 Mei ini.
Sementara itu, Penyelaras Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Zon Utara, Amizudin Ahmat ketika dihubungi memaklumkan pada awal proses pengundian terdapat sedikit masalah teknikal tetapi ia tidak serius dan situasi itu berjaya diatasi sepenuhnya.
Mengulas mengenai pusat pengundian yang lengang, beliau berkata ia kerana banyak ahli yang pilih untuk mengundi dalam talian.
Pulau Pinang, Perlis, Melaka dan Negeri Sembilan mengadakan pengundian secara fizikal hari ini selepas Kelantan, Terengganu, Kedah Johor, Pahang dan Wilayah Persekutuan selesai berbuat demikian minggu lepas.
Untuk Selangor, pengundian berlangsung pada 21 Mei dan Perak, Sabah dan Sarawak pada 22 Mei ini.
Pengundian bagi anggota PKR yang mendaftar sebagai Pengundi Atas Talian (PAT) boleh dilakukan menerusi aplikasi ADIL yang dijadualkan bermula dari 18 hingga 20 Mei serentak di seluruh negara.
PKR mengadakan pemilihan 2022 untuk memilih barisan kepimpinan baharu sebagai persediaan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ikuti Pemilihan PKR 2022 di laman mikro Astro AWANI ini
#pemilihan PKR #Parti Keadilan Rakyat #Cabang #pulau pinang #Muhammad Bakhtiar Wan Chik #Cabang Bayan Baru #proses pengundian
;