Pemilihan PKR: 11,282 calon sah bertanding, Anwar calon tunggal Presiden
Firdaus Azil
April 22, 2022 16:09 MYT
April 22, 2022 16:09 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 11,282 calon Pemilihan 2022 Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah melepasi saringan, dan layak menyertai senarai akhir pencalonan, termasuk 20 calon bagi barisan kepimpinan tertinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada 11,290 permohonan asal, bantahan hanya diterima terhadap lapan orang calon atas sebab kebankrapan, dan senarai hitam yang ditetapkan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.
Beliau berkata, sekali lagi, hanya Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul calon tunggal Presiden tanpa sebarang pertandingan.
“Tahniah buat 11,282 calon yang melepasi saringan ini dan layak menyertai senarai akhir pencalonan termasuk 20 calon bagi barisan kepimpinan tertinggi. Sekali lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul calon tunggal Presiden tanpa sebarang pertandingan. Senarai penuh calon-calon ini boleh dilihat di laman web Pemilihan 2022 di https://pemilihankeadilan2022.com/.
“Pada ketika ini, JPP sedang dalam persediaan menghadapi fasa pengundian secara fizikal dan dalam talian yang dijadualkan berlangsung dari 13 Mei 2022 hingga 22 Mei 2022 yang mana pekeliling berkenaan telah pun dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan semakan, dua calon disahkan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden, iaitu bekas Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli, dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Bagi empat slot jawatan Naib Presiden, seramai 17 calon disahkan layak bertanding, membabitkan nama-nama besar seperti Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Parlimen Tanjong, Malim Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; dan wakil wanita tunggal merangkap Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.
Tidak ketinggalan Menteri Besar Negeri Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut melontarkan cabaran untuk jawatan tersebut.
Bagi jawatan Ketua Wanita Keadilan, dua calon yang sah bertanding ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail, dan Ahli Dewan Negara, Fadhlina Sidek.
Sementara jawatan Timbalan Ketua Wanita Keadilan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Datin Faizah Ariffin, ADUN Bukit Melawati yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli, dan Ketua Wanita Keadilan Johor, Napsiah Khamis Maharan.
Sementara itu, jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Adam Adli Abd Halim, dan Fahmi Zainol
Dalam pada itu, Zaliha berkata, 21 April ini merupakan hari terakhir permohonan pendaftaran sebagai pemilih atas talian (PAT) melalui aplikasi ADIL.
“Seramai 96,983 orang telah berjaya memuat turun aplikasi ADIL dan mengemas kini maklumat diri dan kemudiannya memilih untuk menjadi PAT. Menariknya, seramai lebih 700 orang anggota yang kini menetap di luar negara termasuk di Australia, Brunei, Singapura dan lain-lain juga tersenarai sebagai PAT.
“Meskipun permohonan baharu telah pun ditutup, kerja-kerja akan diteruskan sehingga kesemua yang memohon untuk menjadi PAT selesai ditentusahkan. Sekalung tahniah buat seluruh anggota Keadilan yang terlibat dalam proses Pemilihan 2022 sehingga ke peringkat ini,” katanya lagi.
Mana-mana anggota yang tidak berkesempatan, jelas Zaliha lagi, masih boleh melaksanakan tanggungjawab memilih secara fizikal di pusat-pusat mengundi yang akan dimuktamadkan lokasinya dalam beberapa hari lagi.