Pemilihan parti: Pemimpin MIC sepatutnya bertindak atas aduan salah laku - Samy Vellu
T K Letchumy Tamboo
Oktober 16, 2014 08:57 MYT
Oktober 16, 2014 08:57 MYT
Pucuk pimpinan teratas MIC sepatutnya mengambil langkah awal apabila anggotanya mengadu tentang salah laku dan penyalahgunaan kuasa dalam pemilihan MIC pada November tahun lepas.
Mengkritik pucuk pimpinan teratas MIC, bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata isu itu mungkin mampu diselesaikan di peringkat dalaman parti sekiranya pemimpin MIC bertindak sejurus menerima aduan tersebut.
"Jika sesuatu tidak betul, pemimpin teratas seharusnya mengambil langkah awal. Memanggil mereka (pengadu) dan maklumkan mereka apa pandangan anda.
“Kalau begitu, isu itu mampu dibendung di dalam parti. Sekarang, isu itu sudah keluar parti. Ia tidak sepatutnya berlaku.
“Apabila seseorang mengadu, kita seharusnya membuat sesuatu secepat mungkin,” katanya kepada Astro AWANI.
Samy berkata demikian semasa mengulas mengenai laporan bahawa lebih 2,000 pengerusi cawangan dan pemimpin MIC akan menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pejabatnya di Putrajaya pada pukul 2 petang hari ini (Khamis).
Memorandum itu bertujuan untuk menyatakan 'rasa tidak puas hati’ ahli-ahli MIC ke atas kelewatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mengambil tindakan mengenai laporan yang dibuat lebih daripada 20 pemimpin MIC terhadap penyelewengan yang didakwa berlaku.
Antara pihak yang membuat aduan itu adalah bekas Ketua Pemuda T. Mohan yang berkata sudah 10 bulan sejak aduan itu dibuat kepada ROS dan tiada apa-apa tindakan susulan yang telah diambil.
Samy berkata pihak-pihak yang membuat aduan kepada ROS hanya menggunakan hak yang diberikan kepada mereka di bawah perlembagaan parti.
Sementara itu, ROS telah menafikan dakwaan segelintir anggota MIC kononnya jabatan itu tidak mengambil tindakan.
Timbalan Ketua Pengarah ROS, Mohd Norzam Mustapa berkata jabatannya telah menjalankan siasatan sebaik menerima laporan mengenai dakwaan
Pemilihan pemimpin MIC 2013-2016 pada tahun lepas menyaksikan pertandingan lapan pemimpin kanan termasuk Mohan merebut tiga jawatan naib presiden, manakala 88 calon merebut 23 kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) termasuk dua calon wanita.
Dalam pemilihan itu, Datuk S. Sothinathan; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M.Saravanan; dan Datuk S.Balakrishnan memenangi tiga jawatan naib presiden parti itu.