Pemilihan MIC: Saravanan tewas kepada Devamany
Dania Zainuddin
November 6, 2015 16:46 MYT
November 6, 2015 16:46 MYT
Datuk M. Saravanan hari ini tewas dalam cubaannya merebut jawatan Timbalan Presiden MIC daripada pencabarnya Datuk Seri S.K. Devamany apabila tewas dengan perbezaan hanya 17 undi.
Keputusan mengejut itu menyaksikan Devamany memperoleh 698 undi manakala Saravanan mendapat 681 undi dalam pemilihan semula jawatankuasa tertinggi parti itu yang diadakan di Serdang pada Jumaat.
Pengumuman itu dibuat Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam selepas mengkordinasi proses pengiraan undian itu.
Tiga jawatan Naib Presiden yang terpilih adalah Datuk T. Mohan, Datuk Jaspal Singh, Datuk S.A. Vigneswaran.
Sementara itu, 23 Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) turut diumumkan dengan undian tertinggi kepada P. Kamalanathan.
Mohan yang merupakan bekas Ketua Pemuda MIC ketika ditemui berkata antara pelan utama yang akan dilaksanakan adalah untuk merekrut lebih ramai orang untuk menyertai parti.
"Kita perlu meningkatkan keyakinan masyarakat India terhadap MIC.
"Saya juga berbangga kerana pemuda dapat peluang untuk menjawat Naib Presiden," kata Mohan lagi.
Sementara itu, Saravanan iaitu bekas calon Timbalan Presiden yang kelihatan kecewa sewaktu ditemui pemberita memberi ucapan tahniah kepada Devamany dan berkata dia akan terus berkhidmat sebagai ahli parti untuk memperkukuhkan parti terbesar dan tertua bagi masyarakat India itu.
Mengulas keputusan yang dikatakan mengejut, Saravanan berkata dia menerimanya dengan hati terbuka.
"Saya terrima sahaja, ini keputusan perwakilan, mungkin ada sebab-sebab tertentu para perwakilan membuat keputusan seperti ini. Saya tetap terima dengan terbuka," kata Saravanan.
Pemilihan semula jawatankuasa tertinggi MIC adalah susulan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berikutan aduan mengenai penyelewengan dalam proses pemilihan pada 2013.