Pemilihan MIC lancar, kata Dr Subramaniam
Dania Zainuddin
November 6, 2015 12:48 MYT
November 6, 2015 12:48 MYT
Pemilihan semula jawatankuasa tertinggi MIC berjalan lancar, kata presiden parti itu Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Ditemui pemberita, Dr Subramaniam berkata pengundian semula itu dijangka akan selesai pada jam 11:15 pagi.
Katanya, proses pengiraan undian akan dilakukan dan keputusan diharap akan selesai dalam dua jam.
"Lebih 90 peratus perwakilan telah mengundi, melibatkan lebih 1,400 perwakilan MIC," kata Dr Subramaniam.
Pemilihan semula itu tertumpu kepada pertandingan jawatan Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan 23 Jawatankuasa Pusat bagi MIC.
Proses itu melibatkan lebih 1,400 perwakilan MIC dari seluruh negara.
Mengulas krisis MIC sejak dua tahun lalu, Dr Subramaniam menjelaskan usaha memperkuatkan parti dan menyatupadukan keahlian akan dilaksanakan.
"Selepas pemilihan, persiapan akan dilakukan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. Ia akan menentukan masa depan parti MIC," jelasnya.
Tambah Dr Subramaniam, langkah persiapan yang akan dilaksanakan termasuk usaha MIC untuk lebih mendekati masyarakat India.
"Proses dan usaha supaya parti lebih dekat dengan masyarakat akan berterusan supaya kita mendapat sokongan dari masyarakat," katanya lagi.
Tegas Dr Subramaniam, langkah itu bakal menjadi asas kepada kekuaran pilihan raya akan datang
Pada pemilihan semula jawatankuasa MIC kali ini, jawatan Timbalan presiden menyaksikan pertandingan antara Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Seri S.K Devamany dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan.
Sementara itu, jawatan naib presiden, seramai empat calon bertarung iaitu bekas ketua pemuda MIC Datuk T. Mohan, Datuk S.A. Vigneswaran, Ketua penerangan MIC Datuk V.S. Mogan serta bekas bendahari agung Datuk Jaspal Singh.
Bagi 23 Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pula, 44 orang pula bertanding merebut jawatan itu.
Turut berlangsung pada hari pemilihan adalah Majlis Perhimpunan Agung MIC yang bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sebelum ini, Majlis Perhimpunan Agung yang dijadualkan pada Disember tahun lepas ditangguhkan kerana arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bagi membuat pemilihan semula jawatankuasa tertinggi MIC.
Pada 10 Okt lalu, Dr Subramaniam telah memenangi jawatan presiden tanpa bertanding, sementara C. Sivarraajh dan M. Mohana turut mengekalkan jawatan sebagai ketua Pemuda dan Wanita MIC bagi penggal 2013-2016 tanpa bertanding.
Selain itu M. Uvaraj juga memenangi kerusi ketua Putera tanpa bertanding selepas penyandang K. Raven Kumar tidak mempertahankan jawatan, sementara R. Gunasundari juga menang tanpa bertanding untuk jawatan ketua Puteri.