Pemilihan merebut kerusi timbalan presiden, naib presiden dan CWC MIC bermula
Bernama
November 6, 2015 11:15 MYT
November 6, 2015 11:15 MYT
Para perwakilan pada Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MIC ke-67 hari ini mula mengundi pada pukul 9.10 pagi untuk memilih timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat
(CWC).
Proses mengundi membabitkan 1,400 perwakilan termasuk 35 dari sayap Wanita dan Pemuda dan 16 dari sayap pemuda Putera dan Puteri dijangka tamat pada pukul 12 tengah hari, diadakan di Taman Pameran Agro Malaysia, Serdang di sini.
Keputusan dijangka diumumkan pada pukul 2 petang.
Kerusi timbalan presiden menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Seri S.K Devamany dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan.
Bagi kerusi naib presiden seramai empat calon bertarung iaitu bekas ketua pemuda MIC Datuk T. Mohan, Datuk S.A. Vigneswaran, ketua penerangan MIC Datuk V.S. Mogan dan bekas bendahari agung Datuk Jaspal Singh.
Sebanyak 44 orang pula merebut 23 kerusi CWC.
Kempen untuk semua jawatan utama berlangsung sengit pagi ini apabila para calon dan penyokong masing-masing berusaha menarik sokongan para perwakilan pada saat akhir.
Terdahulu Setiausaha Agung, A. Sakthivel membentangkan laporan tahunan parti yang kemudiannya diterima sebulat suara para perwakilan.
Sementara itu bagi laporan kewangan Jaspal berkata parti itu mencatat lebihan pendapatan berbanding perbelanjaan selepas cukai bagi tahun berakhir 31 Dis 2012 sebanyak RM2.47 juta.
AGM MIC dijadualkan pada 13 dan 14 Dis tahun lalu tetapi ditangguhkan selepas Pendaftar Pertubuhan membatalkan keputusan pemilihan November 2013 berikutan ketidaksekataan dan mengarahkan pemilihan semula.
Pada 10 Okt lalu Datuk Seri Dr S. Subramaniam telah memenangi jawatan presiden tanpa bertanding, sementara C. Sivarraajh dan M. Mohana turut mengekalkan jawatan sebagai ketua Pemuda dan Wanita MIC bagi penggal 2013-2016 tanpa bertanding.
Selain itu M. Uvaraj juga memenangi kerusi ketua Putera tanpa bertanding selepas penyandang K. Raven Kumar tidak mempertahankan jawatan, sementara R. Gunasundari juga menang tanpa bertanding untuk jawatan ketua Puteri.