Pemilihan Kabinet dipengaruhi 'percaturan politik' - Anwar

Astro Awani
September 3, 2021 23:41 MYT
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata adalah mengecewakan apabila kepentingan rakyat tidak jelas dalam keputusan pemilihan pentadbiran baharu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Pemilihan barisan Kabinet dilihat lebih menjurus kepada percaturan politik untuk memperkasakan jaringan lama dan mengekalkan kedudukan anggota terdahulu, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata adalah mengecewakan apabila kepentingan rakyat tidak jelas dalam keputusan pemilihan pentadbiran baharu berkenaan.
"Umumnya rakyat kecewa. Pertamanya cara mengambil alih pimpinan itu adalah untuk memperkuatkan jaringan lama dan rundingan itu lebih menjurus kepada kedudukan masing-masing selain daripada hal-hal berlaku di luar berbeza perundingan, semuanya ada jaminan kedudukan masing-masing.
"Tidak tertera dari dasar kepentingan rakyat, kepentingan rakyat miskin, kepentingan wilayah sama ada kawasan-kawasan yang dianggap terbiar di Semenanjung, apatah lagi Sabah dan Sarawak
"... orang lama kekal. Orang yang terbukti lembab atau gagal. Jadi sistem itu nampak hanya untuk mengekalkan puak berkuasa dan tidak pedulikan rakyat," dakwanya.
Beliau berkata demikian dalam webinar bertajuk kebersamaan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam Perjuangan Pakatan Harapan pada Jumaat.
Turut serta dalam webinar itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Mengulas lanjut, Anwar mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, pernah memberi bayangan tidak mempunyai pilihan dan terpaksa mengekalkan ramai anggota Kabinet.
"Saya bersama Guan Eng dan Mohamad berjumpa dengan Perdana Menteri sehari sebelum Kabinet dibentuk.
"Kita suarakan bahawa kerjasama ini (pembangkang dengan kerajaan) mungkin tertakluk kepada beberapa perkara dasar dan beliau (bagaikan) memberi bayangan seperti tidak boleh buat apa-apa kerana terpaksa kekal dengan yang lama," dakwanya.
#Anwar Ibrahim #Kabinet Baharu #Ismail Sabri #kepentingan rakyat
;