Pemilihan Ismail Sabri sebagai PM jadikan BN lebih utuh pada PRU15 - Sivaraj

Rahimah Abdullah
April 15, 2022 12:14 MYT
Sivaraj menjelaskan, keputusan itu menunjukkan UMNO dan BN adalah perikatan yang matang dan mengutamakan perjuangan parti daripada kepentingan individu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : MIC menyambut baik cadangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO agar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusatnya, Datuk Sivaraj Chandran menjelaskan, keputusan itu menunjukkan kematangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam mengutamakan perjuangan parti daripada kepentingan individu.
"Saya rasa itu satu keputusan yang baik dan ini membolehkan BN menjadi lebih utuh dalam menghadapi PRU15 dengan lebih strategik dan berkeyakinan.
"Ini menunjukkan UMNO atau BN merupakan perikatan yang matang dan mementingkan perjuangan BN daripada kepentingan individu," katanya semasa dihubungi Astro AWANI, di sini pada Jumaat.
BACA: MKT UMNO cadang Ismail Sabri calon PM untuk PRU15
Pada Khamis, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini sebulat suara mencadangkan Naib Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi PRU15 kelak.
Tambahnya, pemilihan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri diharap akan memberikan kesinambungan terhadap usaha memperkasakan sosioekonomi kaum India di negara ini.
"MIC menerima baik keputusan yang dicapai dalam MKT UMNO, dan berharap lebih banyak insiatif dapat dilaksanakan oleh Perdana Menteri sebagai kesinambungan dalam memperkasakan sosioekonomi masyarakat India," ujarnya.
Ditanya sama ada masih ada calon lain yang layak untuk memegang jawatan nombor satu negara itu, Sivaraj menegaskan, MIC menghormati dan akur dengan keputusan UMNO itu.
"Kita menghormati keputusan UMNO untuk menjadikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon tunggal Perdana Menteri pada PRU15," tambahnya.
BACA: Ismail Sabri calon PM bagi PRU15 bukti UMNO tiada perpecahan dalaman - Shahril Hamdan
BACA: Pemimpin tertinggi UMNO, komponen BN sokong Ismail Sabri calon PM PRU15
#ismail sabri yaakob #PRU15 #Sivaraj Chandran #MIC
;