Pemilihan CEC DAP: Tangkis sentimen cauvinis melalui tindakan - Howard

Harits Asyraf Hasnan
Mac 19, 2022 15:14 MYT
Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee menegaskan, perjuangan DAP sejak ia ditubuhkan tidak pernah menetapkan keanggotaan kepada kaum tertentu seperti sesetengah parti lain. - Sumber foto: Howard Lee
KUALA LUMPUR: Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP tahun ini dilihat bakal membawa lembaran baharu dalam usaha menangkis sentimen cauvinis yang terpalit dalam parti itu.
Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee menegaskan, perjuangan DAP sejak ia ditubuhkan tidak pernah menetapkan keanggotaan kepada kaum tertentu seperti sesetengah parti lain.
Malah katanya, di negeri-negeri di mana DAP menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan tidak pernah melaksanakan sebarang dasar yang mengasingkan kaum atau agama.
"DAP tidak pernah dan tidak akan memperjuangkan apa-apa dasar atau apa-apa pendekatan pembinaan negara atau parti yang cauvinis.
"Kami membuktikannya semasa wujud dan tubuhnya parti ini, kita sendiri dari kepimpinan yang pelbagai kaum, pelbagai keturunan kelas dan itulah kemajmukan negara kita yang diterbitkan dalam kemajmukan dalam kepimpinan parti," katanya ketika dihubungi, Astro AWANI hari ini.
BACA: DAP pilih barisan CEC baharu, pengganti Guan Eng untuk hadapi PRU15
Beliau yang bakal melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak 2018 itu turut mengakui usaha untuk melawan sesuatu yang tidak wujud seperti sifat cauvinis sebenarnya agak sukar.
"Ini kerana apabila ia tidak wujud tapi telah disuntik dalam minda sesetengah golongan masyarakat, ia tidak perlu dilawan atau perlu diperlu dibuktikan salah.
"Ini adalah antara yang perlu dan akan terus diperjuangkan oleh parti dan kepimpinan baharu parti, saya yakin dan kami buat menerusi tindakan parti," katanya.
Jelasnya, dari segi penampilan kepimpnan baharu CEC DAP 2022, ia dicerminkan dalam senarai yang bakal bertanding dan dipilih esok.
Justeru katanya, DAP lebih cenderung untuk buktikan mereka yang berpandangan negatif adalah salah hasil tindakan parti
Seramai 4,149 perwakilan akan menghadiri kongres sehari secara fizikal itu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam dan mengundi dalam CEC, yang akan membawa parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli CEC akan memilih pemegang jawatan parti.
#DAP #pemilihan CEC DAP #Howard Lee
;