Pemilihan CEC DAP bermula
Bernama
Mac 20, 2022 13:05 MYT
Mac 20, 2022 13:05 MYT
SHAH ALAM: Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bermula pukul 11.50 pagi, hari ini.
Proses pemilihan itu diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada Kongres Kebangsaan Parti Ke-17.
Pemilihan pada kali ini akan menyaksikan seramai 30 ahli daripada 93 calon yang disenaraikan akan dipilih bagi membarisi CEC parti yang akan menerajui barisan kepimpinan DAP bagi penggal 2022 hingga 2025.
Seramai 4,149 perwakilan yang hadir secara fizikal akan mengundi bagi pemilihan CEC parti.
Selaras dengan peruntukan dalam perlembagaan parti, CEC akan menyaksikan pemilihan setiausaha agung baharu, berikutan Lim Guan Eng berada pada penggal terakhirnya sebagai setiausaha agung selepas memegang jawatan itu selama 17 tahun.
Menurut peruntukan itu, Lim yang pertama kali dilantik sebagai setiausaha agung pada 2004, tidak boleh dipilih semula pada penggal ini setelah pindaan perlembagaan parti hanya membenarkan seseorang memegang jawatan itu selama tiga penggal.
Pada kongres lepas, perlembagaan parti turut dipinda dengan memperuntukkan 30 peratus kuota untuk wanita dalam CEC.
Ia bermakna terdapat sekurang-kurangnya sembilan wanita dalam jawatankuasa baharu itu.
Selain itu, jumlah CEC parti pada kali ini juga ditambah kepada 30 orang berbanding 20 ahli CEC sebelum itu.
-- BERNAMA