Pemilihan calon tepat bawa kemenangan BN - Ku Li

Abd Razak Mohd Ali
Januari 27, 2019 11:48 MYT
Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ciri-ciri seperti anak tempatan Orang Asli dan popular di kalangan penduduk setempat memberi kelebihan dalam meraih kepercayaan pengundi. - Gambar fail
Pemilihan calon yang tepat adalah antara penyumbang terbesar kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada Sabtu.
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ciri-ciri seperti anak tempatan Orang Asli dan popular di kalangan penduduk setempat memberi kelebihan dalam meraih kepercayaan pengundi.
Menurut beliau yang turut dikenali sebagai Ku KLi, calon BN, Ramli Mohd Noor adalah calon yang tepat, tambahan pula beliau seorang yang peramah dan senang untuk dihubungi.
BACA: Tanpa Pas, BN tidak peroleh majoriti besar di Cameron Highlands - Penganalisis
BACA: Kerjasama dengan Pas penyumbang kemenangan BN - Tok Mat
Di samping itu, kata beliau, BN juga tidak mengalami isu perebutan untuk menjadi calon.
"Jadi ini antara punca kemenangan sedangkan calon-calon lain terutama parti lawan BN datangnya dari luar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah 'Masa Depan Orang Melayu' anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) di Kelab Golf Diraja Perak, Sabtu malam.
Menurut Tengku Razaleigh, penyokong Pas juga telah memberi sokongan kepada calon BN.
Keputusan PRK Cameron Highlands menyaksikan Ramli menang dengan majoriti lebih besar iaitu 3,238 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran 8,800 undi; calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).
Bagaimanapun, kata Tengku Razaleigh, kemenangan BN itu belum tentu memberi momentum sama dalam PRK Dun Semenyih, 2 Mac depan.
Menurut beliau, selaku kerajaan yang memerintah, PH pastinya melipat gandakan usaha dan tenaga agar tidak kehilangan kerusi di situ.
#Barisan Nasional #calon #Cameron Highlands #Melayu #Orang Asli #Pakatan Harapan #PAS #pemilihan #pilihan raya kecil #Tengku Razaleigh Hamzah #UMNO
;