Pemilihan calon PH Kelantan umpama pilih pucuk miding - Mohd Amar
Vivi Sumanti
Mei 6, 2018 12:18 MYT
Mei 6, 2018 12:18 MYT
Pas menyifatkan senarai calon Pakatan Harapan Kelantan yang ditampilkan untuk bertanding di kesemua kerusi umpama memilih pucuk Miding (pucuk paku) bagi dibuat gulai.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PH dilihat meletakkan calon mereka secara tangkap muat tanpa penilaian secara mendalam.
"Calon PH ni dipilih serupa petik pucuk Miding nak buat gulai, ikut sedap dia, asal jumpa orang kutip ambil jadi calon, sebab itu ada kena tolak, di Jelawat dan Kuala Balah" katanya dalam satu ceramah di Kampung Teluk, Panji, di sini.
Selain itu katanya, terdapat dakwaan mengatakan calon PH di sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini sempat melaksanakan umrah selepas penamaan calon.
"Ada calon PH, lepas penamaan calon, calon dari DUN di Kelantan ini, pergi mengerjakan Mekah, ketika orang lain sibuk kempen, dia nak kempen siapa Mekah, nak ajak orang Badwi mengundi ke?," ujarnya.
Mohd Amar berkata, rakyat perlu bijak memilih wakil rakyat mereka yang mempunyai rekod baik serta berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, calon PH tidak boleh dipercayai berdasarkan sejarah lalu sewaktu Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di Perak apabila dua wakil rakyat mereka melompat parti hingga menyebabkan kerajaan tumbang dan BN berjaya membentuk kerajaan.
Mohd Amar turut menempelak Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad yang diibaratkan sebuah belanga atau periuk memasak yang sudah hitam dan usang yang layak berada di muzium sebagai khazanah.
"Belanga umur 93 tahun, tak boleh salah sikit, terhantuk pecah, nak masak gulai macam mana belanga ini, selayaknya duduk di muzium atau dalam almari dapur sahaja," katanya.
Namun Mohd Amar berkata, PH menawarkan belanga usang itu untuk menjadi pemain utama yang menyebabkan Pas hilang keyakinan.
#calon
#Kota Bharu
#Malaysia Memilih
#MalaysiaMemilih
#Mohd Amar Nik Abdullah
#Pakatan Harapan
#PRU14
#pucuk miding