Pemilihan Bersatu: Muhyiddin, Hamzah menang tanpa bertanding

Bernama
Oktober 4, 2024 19:58 MYT
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengerusi JPP Bersatu Saiful Adli Arshad dalam sidang media hari ini. - Gambar Bernama/FB Hamzah
PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal Presiden Bersatu manakala Setiausaha Agung parti Datuk Seri Hamzah Zainudin mengisi jawatan Timbalan Presiden, selepas masing-masing menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu bagi 2024-2027.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu Saiful Adli Arshad dalam sidang media hari ini.
"Pengisytiharan rasmi kemenangan kedua-dua calon tunggal ini hanya akan dibuat selepas selesai Persidangan Bahagian-Bahagian pada 2 Nov 2024 kelak," katanya.
Selain itu, beliau berkata Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut menang tanpa bertanding jawatan Ketua Srikandi selepas penyandangnya Datuk Seri Rina Mohd Harun menarik diri.
Turut menang tanpa saingan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi bagi jawatan Naib Ketua Srikandi.
Saiful Adli berkata bagi jawatan Naib Presiden, enam calon layak bertanding termasuk penyandang jawatan Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, A'ziss Zainal Abidin, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Razali Idris dan Mohd Rafiq Abdullah untuk memenuhi tiga jawatan dipertandingkan itu.
Beliau berkata bagi jawatan Ketua Armada, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia Hilman Idham akan bersaing dengan penyandang Pengerusi Tetap Armada yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional (PN) Akmal Zahin Zainal Zahir.
Beliau berkata pihaknya menerima 276 borang pencalonan pada hari penyerahan borang 21 Sept lepas bagi pemilihan di peringkat nasional untuk jawatan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Jawatankuasa Srikandi, Jawatankuasa Armada, Jawatankuasa Srikandi Muda dan Jawatankuasa Sayap Bersekutu.
Sementara itu, Ahmad Faizal dalam sidang media sama berkata bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden serta Naib-naib Presiden, MPT telah membuat ketetapan bahawa ahli yang pernah memegang jawatan MPT atau Ketua Bahagian selama sepenggal lengkap dibenarkan bertanding bagi mengisi jawatan tertinggi itu.
"Begitu juga dengan pertandingan untuk mengisi jawatan MPT, iaitu syarat tempoh kelayakan ditetapkan mestilah merupakan ahli parti selama dua tahun.
"Kesemua calon bertanding juga telah melalui proses tapisan yang dilakukan secara cermat dan teliti mengikut Perlembagaan parti dan juga perundangan negara - oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (PP) ditubuhkan mengikut Fasal 14.9 Perlembagaan Bersatu bagi maksud melaksana, mengendali dan menyeliakan pemilihan ini," katanya.
Ahmad Faizal berkata persidangan sayap-sayap Bersatu peringkat Bahagian akan berlangsung pada 12 dan 26 Okt, sebelum diakhiri dengan Persidangan Bahagian-bahagian Bersatu pada 2 Nov.
Beliau berkata persidangan semua peringkat bahagian pada tahun ini akan melibatkan agenda pemilihan Jawatankuasa Bahagian, Jawatankuasa Sayap Bahagian, Ahli MPT serta Sayap-sayap Peringkat Nasional.
-- BERNAMA
#Perikatan Nasional #Bersatu #Naib Presiden #MPT
;