Pemilihan Bersatu bahagian Jasin 'dibekukan' susulan penggantungan

Bernama
Oktober 21, 2024 19:35 MYT
Penggantungan itu akan mengambil suatu tempoh dan bergantung kepada siasatan yang dilakukan ibu pejabat parti.
MELAKA: Pemilihan Bersatu Bahagian Jasin 'dibekukan' buat sementara waktu susulan penggantungan jawatankuasa bahagian tersebut baru-baru ini, kata Setiausaha Bersatu Melaka Azzaruddin Idris.
Beliau berkata penggantungan itu akan mengambil suatu tempoh dan bergantung kepada siasatan yang dilakukan ibu pejabat parti.
"Kalau sebelum pemilihan (berlaku dan) bahagian masih belum dilepaskan (daripada) penggantungan, maksudnya tergantung jugalah (pemilihan) dan pemilihan tak boleh diadakan.
"Sekiranya sebelum tarikh pemilihan pada 2 Nov, penggantungan telah ditarik balik maka Bersatu Jasin boleh mengadakan persidangan tahunan (dan) sekiranya (penggantungan ditarik) selepas 2 Nov, ia akan mengadakan Persidangan Khas Bahagian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Azzarudin berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima alasan penggantungan bahagian tersebut daripada Bersatu Pusat memandangkan siasatan masih dijalankan.
"Sebab-sebab penggantungan, kita (di peringkat negeri) pun masih tak tahu lagi dan saya pun tak boleh nak komen sebab kita tak tahu sebab apa (Bersatu Bahagian Jasin digantung) tapi ia dalam proses penyiasatan," katanya.
Sebelum ini, tular surat bertarikh 14 Okt ditandatangani Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin yang memaklumkan penggantungan Jawatankuasa Bersatu Bahagian Jasin.
Surat berkenaan memaklumkan susulan penggantungan tersebut, pengurusan dan pentadbiran Bersatu Bahagian Jasin diambil alih oleh Majlis Pimpinan Tertinggi selaras dengan Fasal 11.2 Perlembagaan Bersatu.
-- BERNAMA
#Bersatu bahagian Jasin #Pemilihan Bersatu #Azzaruddin Idris #penggantungan
;