Pemilih 18 tahun dibenar mengundi jika PRN Sarawak selepas 31 Dis - Wan Junaidi

Bernama
Oktober 28, 2021 21:46 MYT
Wan Junaidi berkata, pelaksanaan Undi18 perlu dilaksanakan seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuching sebelum ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengundi muda akan dibenar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sekiranya pilihan raya itu diadakan selepas 31 Dis ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata pelaksanaan Undi 18 perlu dilaksanakan seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuching sebelum ini.
Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang meminta jaminan kerajaan akan melaksanakan Undi 18, ketika sesi menggulung Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
"Sebenarnya soalan Yang Berhormat tiada kena mengena dengan rang undang-undang hari ini... kalau PRN (Sarawak) diadakan sebelum 31 Dis, ia masih tidak mengguna pakai yang baharu (Undi 18), tetapi kalau laksana (PRN) selepas Januari (2022)...kita kena akur dengan arahan mahkamah," katanya.
Pada 3 Sept lepas, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Dis tahun ini.
Sementara itu Wan Junaidi ketika membentangkan Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali kedua berkata ia secara amnya bertujuan memantapkan sektor perundangan dan perkhidmatan peguam bela di Sabah.
"Proses Penggubalan Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 ini telah melibatkan pihak-pihak berkepentingan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Negara bagi memastikan ia memenuhi ekspektasi yang diperlukan," katanya.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan rang undang-undang itu tanpa pindaan dengan suara majoriti.
-- BERNAMA
#Undi18 #pengundi 18 tahun #PRN Sarawak #Wan Junaidi Tuanku Jaafar
;