Pemikiran setiap pemimpin, akar umbi UMNO perlu senada - Zahid Hamidi
Abd Hadi Che Awang
Januari 9, 2021 23:23 MYT
Januari 9, 2021 23:23 MYT
ALOR SETAR: Pemikiran setiap pemimpin termasuk di peringkat akar umbi parti UMNO perlu senada dan sebulat suara.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu bentuk pemikiran yang saksama membabitkan setiap lapisan kepimpinan parti itu perlu wujud sebelum sebarang bentuk kenyataan dikeluarkan.
Tegasnya, ini bagi mengelakkan berlakunya sebarang kekeliruan, lebih-lebih lagi dalam sesebuah organisasi.
Malah, dalam masa yang sama, beliau turut menyokong penuh prinsip seperti yang dinyatakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid agar pimpinan UMNO tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang "menghentam" dan "memerli" antara satu sama lain.
"Saya bersetuju dengan apa yang dinyatakan oleh Tokdet (Datuk Seri Mahdzir Khalid) itu, dan ini seharusnya menjadi pegangan kepada lapisan kepimpinan dan akar umbi UMNO.
"Sebagai sebuah organisasi parti politik, tentunya pemikiran yang senada dan satu suara adalah perkara yang amat penting dalam mana-mana organisasi terutama UMNO," katanya ketika ditemui media di Bangunan UMNO di Kedah pada Sabtu.
Ujarnya, prinsip senada ini juga penting demi menjamin keutuhan parti.
Terdahulu, Mahdzir menerusi satu kenyataan menyifatkan tindakan yang banyak berlaku sejak kebelakangan ini melibatkan beberapa pimpinan tertinggi UMNO, menteri-menteri daripada UMNO serta bekas pimpinan tertinggi UMNO disifatkan sebagai satu perkara yang amat tidak sesuai dilakukan ketika ini.
Sementara itu, pada Jumaat, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyifatkan kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa UMNO tidak menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) enggan menggugurkan kes mahkamah yang dihadapi pemimpin-pemimpin parti Melayu itu sebagai "pisang goreng".
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, kenyataan Ahmad yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu jelas menunjukkan satu tahap pemikiran yang sempit.
Bekas Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa menerusi satu ciapan di Twitternya pada Rabu menyatakan bahawa "Lain tergigit, lain yang pedas".
Sindiran ringkas itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Pengerusi Lembaga Penyelaras BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau turut berkongsi ciapan Twitter Astro AWANI mengenai laporan berita Najib membidas Annuar Musa kerana mengadakan sidang media untuk membuat pelbagai tuduhan.
Sebelum ini, pada Selasa lepas, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Datuk Seri Ahmad Maslan menggantikan Annuar sebagai Setiausaha Agung BN.
#UMNO
#Presiden UMNO
#Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
#politik
#Majlis Kerja Tertinggi UMNO
#Mahdzir Khalid
#Khairy Jamaluddin
#Ahmad Maslan
#Annuar Musa
#Najib Razak