Pemerintah bimbang berdepan undi tak percaya - Ketua Pembangkang
Agensi
Mei 19, 2020 15:36 MYT
Mei 19, 2020 15:36 MYT
Susulan sesi sidang sehari Dewan Rakyat semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim beranggapan bahawa kerajaan sekarang tidak mungkin mampu bertahan sehingga pilihan raya umum akan datang.
Biarpun gabungan pembangkang tidak memiliki majoriti di Parlimen, Anwar menyifatkan kerajaan ketika ini masih ‘bimbang’ dengan kemungkinan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya.
Beliau turut mempersoalkan keabsahan (legitimacy) tampuk kepimpinan dipegang kerajaan.
"Sekiranya pemerintah sekarang benar-benar memiliki kepercayaan, mereka akan menjalankan urusan Parlimen dengan cara yang biasa.
"Secara jelas mereka bimbang akan kemungkinan berjaya dari usul undi tidak percaya yang dikemukakan. Maka, masalah keabsahan pemerintah ini yang perlu dipersoalkan sekarang,” kata Anwar menerusi satu wawancara oleh Bloomberg Television.
Sementara itu, tambah Anwar, gabungan Pakatan Harapan akan memberi tumpuan untuk memastikan 107 anggota Parlimennya, dari jumlah 222, kekal berpendirian teguh.
Ketika ditanya apakah beliau akan menjadi pilihan pakatan pembangkang untuk jawatan Perdana Menteri dan bukannya bekas pemimpin, Tun Mahathir Mohamad, Anwar yang enggan mengulas lanjut berkata ianya bukanlah 'satu persoalan personaliti' (siapa yang menjadi perdana menteri).
Persidangan Dewan Rakyat yang singkat pada Selasa hanya menyaksikan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
#Anwar Ibrahim
#Mahathir Mohamad
#Malaysia2020
#Muhyiddin Yassin
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#pembangkang
#pilihan raya
#PKR
#Politik Malaysia
#undi tidak percaya
#Yang di-Pertuan Agong