Pemenjaraan Najib tak akan bersihkan UMNO - Dr Mahathir
Sinar Harian
September 6, 2022 17:40 MYT
September 6, 2022 17:40 MYT
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pemenjaraan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan membersihkan UMNO.
Beliau yang pernah memimpin UMNO selama 22 tahun sebagai Presiden turut menyifatkan budaya parti berkenaan kini bukan seperti sewaktu ia ditubuhkan.
Dakwa Ahli Parlimen Langkawi itu, sewaktu Najib menjadi Perdana Menteri, semua perlakuan yang dilakukan olehnya diterima, disokong dan dipertahan oleh UMNO.
“Pendirian dan sikap UMNO menunjuk seluruh parti itu tidak lagi berpegang kepada prinsip perjuangan untuk bangsa, negara dan agama,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Jelas Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), disebabkan itu UMNO perlu dikalahkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
“... Dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama.
“Saya, bekas Presiden UMNO dan ahli UMNO waktu ia ditubuhkan pada 1946, menyeru supaya parti yang bernama UMNO sekarang ini ditolak sepenuhnya.
“Saya sedih, tetapi yang benar saya perlu terima. Parti saya dahulu sudah hancur kerana kepercayaan bahawa ‘Cash is King’,” ujarnya. -- Sinar Harian