'Pemenjaraan Najib bukan sebab untuk rakyat gembira' - Kadir Jasin
Sinar Harian
September 6, 2022 17:04 MYT
September 6, 2022 17:04 MYT
SHAH ALAM: Pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa individu kenamaan lain serta perbicaraan kes-kes rasuah berprofil tinggi bukanlah sebab untuk rakyat bergembira.
Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin mendakwa, rakyat sebaliknya berdukacita kerana diturunkan bala dalam bentuk pemimpin-pemimpin bermasalah dan tersalah dalam memilih ketua.
“Janganlah pula ada yang bersubahat melepaskan mereka. Penjenayah terbabit mungkin sedang atau akan membayar hutang perbuatan keji mereka di belakang pagar besi tetapi kitalah yang terpaksa memikul beban perbuatan mereka.
“Malah, makan, pakai dan perubatan mereka dalam penjara pun kita yang tanggung,” katanya dalam satu catatan di laman Facebooknya pada Selasa.
Beliau mendakwa, bencana politik, ekonomi dan psikologi yang mereka tinggalkan menghantui serta membebankan rakyat untuk satu tempoh panjang.
Dakwanya, dalam proses mencari keadilan dan membersihkan negara daripada najis rasuah, kestabilan dan keutuhan politik diuji.
"Kita boleh berbangga dengan keazaman Pakatan Harapan (PH) melaksanakan janji pilihan rayanya untuk membawa kes-kes rasuah profil tinggi ke muka pengadilan walaupun sempat mentadbir selama 22 bulan sahaja sebelum digulingkan dalam rampasan kuasa luar Parlimen pada Februari 2020.
“Alhamdulillah kerajaan-kerajaan pimpinan (bekas Perdana Menteri, Tan Sri) Mahiaddin (Muhyiddin) Md Yasin dan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Ismail Sabri Yaakob tidak campur tangan dalam perbicaraan mereka walaupun ada tekanan ke arah itu.
“Ini sedikit sebanyak, membuktikan yang kelakuan politik kita selepas kekalahan UMNO-BN pada Pilihan Raya Umum 2018 telah berubah menjadi lebih baik,” dakwanya.
Namun, dakwanya lagi, di sudut ekonomi, kerosakan institusi, beban hutang dan kos projek-projek mega yang ditinggalkan akan mengambil masa panjang serta perbelanjaan banyak untuk diselesaikan.
“Hutang 1MDB yang sebanyak RM50.75 bilion itu akan hanya habis dibayar balik pada 2039 iaitu 24 tahun dari sekarang.
“Banyak lagi hutang lain yang dibuat oleh Najib, sama ada yang berkaitan dengan kes-kes rasuah beliau atau tidak yang terpaksa kita tanggung.
“Misalnya hutang KWAP RM9.2 bilion, Pembinaan PFI Sdn Bhd RM25 bilion dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) termasuk kos pengambilan tanah serta faedah pinjaman lebih RM66 bilion dan banyak lagi.
“Tidak kira parti dan Perdana Menteri mana memerintah, hutang ini wajib dibayar kerana ia diambil atas nama kerajaan,” dakwanya.
Pada masa sama, A Kadir mendakwa, kesan dari segi psikologi kepada rakyat pula dilihat apabila perbuatan rasuah pemimpin-pemimpin ini dan ahli keluarga mereka, secara khusus menyebabkan orang Melayu hilang keyakinan kepada UMNO manakala orang ramai amnya mula tawar hati terhadap politik.
Beliau mendakwa, kini ramai orang tidak percaya lagi kepada ahli politik dan proses pilihan raya.
Katanya, aliran itu sangat bahaya kerana boleh membawa kepada pembentukan kerajaan minoriti yang dipilih oleh sebilangan kecil pengundi sahaja.
"Harapan kita, UNDI18 akan menyegarkan semula persekitaran politik dan melahirkan barisan pemimpin pewaris yang berwibawa.
“Jadi janganlah pula ada sesiapa bermain dengan api dan mempersendakan undang-undang dan kuasa.
“Najib sudah masuk penjara. Dia wajib di situ seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang negara.
Jangan lagi dibeza-bezakan antara rakyat biasa dengan orang kenamaan,” katanya.