Pemecatan Rafidah dan Daim adalah wajar - Mustapa

Bernama
Mei 5, 2018 04:35 MYT
Mustapa meminta Pas mengemukakan bukti berhubung dakwaan kononnya pihaknya memaksa pengundi bersumpah untuk mengundi BN pada PRU14, 9 Mei ini. - Gambar fail
Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pemecatan dua anggota veteran UMNO daripada parti itu susulan sokongan mereka terhadap pembangkang adalah wajar.
Beliau berkata tindakan itu dilaksanakan memandangkan Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin telah mengeluarkan kenyataan menghentam parti secara terbuka.
"Ini perkara biasa dalam parti dan ia tidak mengira kedudukan seseorang, jika seseorang telah menghentam parti secara terbuka ia tindakan yang memang perlu dilaksanakan," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian Anugerah Belia Negara sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan 2018, di sini, malam Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pemecatan Rafidah dan Tun Daim oleh Lembaga Disiplin UMNO pada Sabtu.
BACA: Tun Daim belum terima surat pengguguran
Sementara itu, Mustapa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, meminta Pas mengemukakan bukti berhubung dakwaan kononnya pihaknya memaksa pengundi bersumpah untuk mengundi BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
"Saya tidak tahu perkara ini dan ini merupakan tuduhan yang sengaja diadakan untuk mencari simpati, banyak tuduhan serupa akan dilemparkan. Ini bukan amalan kita, kemukakan bukti jika ada," katanya.
Selain itu, beliau berkata sokongan rakyat terhadap calon-calon BN di Kelantan dilihat semakin meningkat.
"Banyak pengundi yang menyatakan hasrat untuk pindah parti (ke BN) dan ini perkembangan positif, momentum semakin hebat dan usaha akan dipergiatkan lagi," katanya.
-- BERNAMA
#baiah #Barisan Nasional #calon #Kelantan #majlis tertinggi #Malaysia Memilih #MalaysiaMemilih #Mustapa Mohamed #PAS #pembangkang #pengundi #pilihan raya #pilihan raya umum #PRU14 #Rafidah Aziz #Sumpah #UMNO
;