Pemecatan batal, Lokman Adam kembali jadi Ahli MKT

Ridauddin Daud
Februari 17, 2023 11:20 MYT
Lokman menegaskan pembatalan itu juga mengembalikan hak beliau untuk bertanding dalam pemilihan parti pada tahun ini. -Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis malam memutuskan untuk membatalkan pemecatan Datuk Lokman Noor Adam sebagai ahli MKT UMNO.
Lokman menerusi Facebook rasminya berkata, perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kepadanya melalui panggilan telefon.
"Alhamdulillah, baru terima panggilan daripada Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO yang memaklumkan bahawa MKT UMNO malam ini (semalam) telah membatalkan pemecatan saya dan kini saya kembali sebagai Ahli MKT UMNO," tulis beliau.
Dalam status sama, Lokman menegaskan pembatalan itu juga mengembalikan hak beliau untuk bertanding dalam pemilihan parti pada tahun ini.
Beberapa media sebelum ini melaporkan Lokman dipecat daripada UMNO pada 7 Februari 2020.
Pemecatan Lokman dipercayai berkaitan pendedahan rakaman audio yang didakwa menggambarkan percubaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk meyakinkan pemimpin parti itu agar bekerjasama dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
#Lokman Noor Adam #Mohamad Hasan #batal pemecatan #MKT UMNO
;