Pembukaan Parlimen: Titah Agong sarat dengan nasihat dan peringatan - Penganalisis politik

Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 13, 2023 15:10 MYT
Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan berangkat merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR : Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 sebenarnya cerminan harapan baginda yang mahukan keadaan yang lebih stabil dalam pelbagai aspek di negara ini.
Menurut Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Azizuddin Mohd Sani, kebanyakan kandungan dan inti pati titah baginda pagi tadi mengandungi peringatan dan juga nasihat kepada semua Ahli Dewan Rakyat agar lebih menumpukan usaha dalam memastikan kestabilan yang diimpikan semua dapat dicapai sepenuhnya.
“Baginda mengharapkan bahawa tiada lagi krisis (politik) berlaku selepas ini dan kerajaan yang ada sekarang kekal stabil untuk sekurang-kurangnya sepanjang tempoh Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong sebelum pulang ke Pahang agar Perdana Menteri yang ada itu kekal.
“Itu yang baginda mahukan dan saya rasa rakyat secara umum pun mahukan kerajaan yang stabil dan kerajaan yang ada sekarang kekal,” katanya dalam sesi temu bual bersama Astro AWANI hari ini.
Malah jelasnya lagi jika diamati titah tersebut, baginda sebenarnya turut memberi ingatan kepada semua Ahli Dewan Rakyat agar tidak mengganggu-gugat kedudukan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
BACA: Agong rasmi istiadat pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15
Pantau Kerajaan Baharu: Tumpuan Titah Diraja pembukaan Parlimen penggal kedua Parlimen ke-15
Yang di-Pertuan Agong katanya jelas mahukan semua mereka mencari jalan terbaik dalam memastikan kemakmuran dapat dinikmati oleh rakyat daripada kerajaan yang ada ketika ini.
“Yang di-Pertuan Agong sendiri telah mencetuskan idea untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan dengan memanggil semua parti politik untuk bekerjasama, tetapi seperti yang kita tahu ada parti politik yang tidak mahu bekerjasama dan kekal sebagai pembangkang.
“Tapi apa yang diminta oleh Baginda adalah kerajaan sekarang perlulah stabil dan kukuh. Muafakat itu perlu dipegang dan dieratkan dalam pentadbiran dan baginda mahu melihat keadaan itu diuruskan dengan baik,” katanya lagi.
Baginda juga turut menzahirkan rasa terima kasihnya terhadap pentadbiran terdahulu dalam titah tersebut.
Ia sebagai tanda penghargaan baginda diatas segala jasa yang telah diberikan oleh pemimpin sebelum ini termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri sebelumnya.
Dalam masa yang sama juga jelas Azizuddin, pembangkang yang ada ketika ini perlu memainkan peranannya dengan baik dalam memastikan sistem semak dan imbang itu masih lagi dikekalkan dan berjalan seperti yang sepatutnya.
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung mulai hari ini sehingga 30 Mac dan diikuti persidangan Dewan Negara pada 21 Mac hingga 6 April.
Belanjawan 2023 dijadual dibentangkan Anwar yang juga Menteri Kewangan di Parlimen pada 24 Feb ini.
#pembukaan parlimen #Yang di-Pertuan Agong #Anwar Ibrahim #Al-Sultan Abdullah
;