Pembukaan Parlimen: PH ambil pendekatan 'Khemah Besar', serah memorandum kepada Agong
Fareez Azman
April 10, 2021 14:08 MYT
April 10, 2021 14:08 MYT
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan mengambil pendekatan “Khemah Besar” bagi memulihkan kembali sistem demokrasi berparlimen dengan menamatkan penggantungan Parlimen.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan media Majlis Presiden Pakatan Harapan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Sabtu.
Susulan itu PH akan mempersembahkan satu memorandum yang ditandatangani semua Ahli Parlimennya kepada Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen dapat bersidang semula selepas digantung sejak 12 Januari lalu.
"Kami akan terus gigih berusaha menjuarai aspirasi rakyat dengan mengambil pendekatan “Khemah Besar” untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira pegangan politik.
"Untuk tujuan ini, satu memorandum yang ditandatangani oleh semua Ahli Parlimen yang menyokong pembukaan semula Parlimen akan dipersembah kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara senafas menjunjung titah nasihat Duli Tuanku bahawasanya Darurat tidak menghalang Parlimen untuk bersidang," menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, memorandum terbabit dibuat selepas Pemukiman Pakatan Harapan di Port Dickson baru-baru ini.
"Kami menegaskan kesediaan untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan prinsip dan agenda Reformasi demi kepentingan Rakyat, tanpa melibatkan kleptokrat," jelas kenyataan itu lagi.
#Anwar Ibrahim
#Lim Guan Eng
#Mohamad Sabu
#PKR
#DAP
#presiden
#Parti Keadilan Rakyat
#Yang di-Pertuan Agong
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#politik
#Buka Parlimen
#darurat
#penggantungan parlimen
#rakyat
#Khemah Besar