Pembubaran Parlimen tepat, wakil parti komponen kerajaan tak sokong PM - Ahmad Maslan
Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 10, 2022 00:13 MYT
Oktober 10, 2022 00:13 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO menyifatkan pembubaran Parlimen diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin, adalah tepat memandangkan tiada lagi semangat solidariti ditunjukkan oleh wakil parti yang membentuk kerajaan campuran untuk menyokong beliau.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata UMNO juga menghormati dan mempunyai pendirian yang sama dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bahawa negara tidak boleh berterusan berada dalam keadaan politik tidak stabil dan menentu.
Bahkan katanya, mandat perlu segera dikembalikan kepada rakyat bagi membolehkan sebuah kerajaan yang mampu menjamin kestabilan serta kemakmuran dibentuk menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"UMNO berpendirian pembubaran Parlimen adalah merupakan jalan terbaik memandangkan wakil parti-parti yang membentuk kerajaan campuran sebelum ini makin jelas tidak memperlihatkan solidariti terhadap Perdana Menteri dalam mentadbir negara.
"Malah mengisytiharkan UMNO dan BN sebagai musuh utama hanya lebih menzahirkan tiadanya kepercayaan dan rasa hormat kepada UMNO yang menerajui kerajaan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di WTCKL malam ini.
Tambahnya lagi, UMNO akan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi menentukan tarikh yang sesuai untuk mengadakan PRU15.
Namun jelasnya PRU15 adalah lebih sesuai diadakan sebelum pertengahan November bagi mengelakkan risiko banjir.
Dalam masa yang sama, katanya UMNO memutuskan untuk menggunakan tema "Kestabilan dan Kemakmuran" bagi manifesto parti terbesar orang Melayu itu dalam menghadapi saingan pada PRU15 nanti.
Susulan itu, katanya UMNO akan mengangkat tema tersebut ke mesyuarat Dewan Tertinggi BN untuk dipersetujui oleh parti komponen yang lain dalam masa terdekat.
Sementara itu, Ahmad berkata, susulan pembubaran Parlimen, Perhimpunan Agung UMNO yang sepatutnya diadakan pada 23 hingga 26 November ini juga ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.