Pembubaran DUN ikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri - MB Johor
Israr Khalid
Januari 28, 2022 10:36 MYT
Januari 28, 2022 10:36 MYT
KUALA LUMPUR: Pembubaran DUN Johor adalah berlunaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan di dalamnya juga termaktub hal-hal yang membenarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Maka kata Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, tidak timbul soal pembaziran kerana perbelanjaan untuk pilihan raya ada diperuntukkan mengikut perlembagaan negeri itu.
Menurut Fasal 23.3 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor jelasnya, disebutkan bahawa PRN boleh diadakan selepas tiga tahun dari Pilihan Raya terakhir tanpa perlu menunggu tamat sepenuhnya penggal mandat iaitu lima tahun.
“Kalaulah itu menjadi Undang-Undang Tubuh, maka sesebuah kerajaan harus bersedia dengan peruntukan untuk mentadbir negeri dengan baik.
“Jadi soal RM150 juta (yang perlu dibelanjakan untuk mengadakan PRN) itu bukanlah terpaksa dikorbankan perancangan pembangunan, golongan B40 tidak mendapat pembiayaan dan sebagainya, itu bukan cara sesebuah kerajaan mentadbir.
“Sebab itu dalam Undang-Undang ianya ada hubung kait dengan peruntukan, apabila ada sesuatu institusi yang dipertanggungjawabkan maka mereka harus memastikan peruntukan itu tersedia dan penggunaannya mengikut perundangan yang ada.”
Beliau berkata demikian sebagai membidas dakwaan pihak yang tidak setuju kerajaan negeri membubarkan DUN untuk diadakan PRN atas sebab belanja besar yang diperlukan ketika ekonomi rakyat belum pulih sepenuhnya.
Tonton sesi penuh Dialog Tiga Penjuru dihoskan oleh Dzulfitri Yusop, di sini: