'Pembersihan' UMNO: Tanggungjawab besar pucuk pimpinan urus persepsi di bawah - Onn Hafiz

Hasimi Muhamad
Januari 28, 2023 13:32 MYT
Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau secara peribadi berpandangan ramai yang terkejut dan sedih dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Jumaat malam. - Gambar AWANI
KUALA LUMPUR: Pucuk pimpinan UMNO perlu menggalas tanggungjawab besar untuk mengurus persepsi akar umbi dan rakyat susulan tindakan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin dan ahli parti itu.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, beliau secara peribadi berpandangan ramai yang terkejut dan sedih dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Jumaat malam.
"Sudah tentu kena urus peringkat ahli parti dan peringkat rakyat secara umum. Saya rasa ini satu tanggungjawab yang besar untuk pucuk pimpinan melihat pada persepsi dan apa yang berlaku di bawah.
"Di peringkat negeri Johor, saya ingin menekankan fokus membangunkan negeri Johor dengan semangat perpaduan Bangsa Johor. Kita nak jadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030," katanya dalam satu rakaman video yang diberikan media, pada Sabtu.
BACA: KJ keterlaluan, Hishammuddin tidak serik belakang parti - Puad Zarkashi
Pada Jumaat malam, UMNO memecat bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Beberapa pemimpin lain pula digantung selama enam tahun antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Turut digantung keahlian selama enam tahun ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Fathul Bari Mat Jahya, bekas Ahli Parlimen Jempol Datuk Salim Mohd Sharif, dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
MKT UMNO juga bertindak memecat lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO bahagian Tanjong Karang serta 26 ahli UMNO dari Pahang.
Antara kesalahan mereka adalah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional (BN) dan membantu parti lawan ketika PRU15.
#pemutihan umno #KJ dipecat UMNO #Hishammuddin digantung UMNO #Ahmad Zahid Hamidi
;