Pembersihan UMNO: Pecat, gantung pemimpin atas syor Lembaga Disiplin - Isham

Sinar Harian
Januari 28, 2023 07:00 MYT
ISHAM: Sebab-sebab utama Lembaga Disiplin UMNO membuat rekomendasi tersebut sebelum ia disokong MKT kerana berlaku pelanggaran disiplin. -Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil mengesahkan pemecatan atau penggantungan keahlian enam pemimpin parti itu termasuk Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dibuat atas syor Lembaga Disiplin UMNO.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, Lembaga Disiplin membuat cadangan berkenaan selepas pemimpin-pemimpin tersebut didapati melanggar disiplin parti.
"Sebab-sebab utama Lembaga Disiplin UMNO membuat rekomendasi tersebut sebelum ia disokong MKT kerana berlaku pelanggaran disiplin.
"Perincian tentang pelanggaran yang dilakukan itu ada pada Lembaga Disiplin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai poster tular di media sosial yang memaparkan fakta pemecatan dan penggantungan enam pemimpin tersebut.
UMNO pada Jumaat memecat Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
UMNO turut menggantung selama enam tahun keahlian Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif.
Poster tular itu antara lain mendakwa tindakan Khairy mengatakan parti berkenaan sudah sesat secara terbuka ketika beliau berkempen sebagai calon UMNO Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu adalah amat berat.
Noh pula didakwa mahu dipecat dari parti walaupun sepatutnya beliau digantung sahaja selepas melakukan sabotaj pada parti serta mahu BN kalah di Parlimen Tanjung Karang pada PRU15 lalu.
Isham menjelaskan, beliau tidak dapat mengulas lanjut tentang perincian pelanggaran disiplin yang dibuat pemimpin berkenaan kerana beliau bukan berada dalam Lembaga Disiplin.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan keputusan yang dibuat ke atas pemimpin-pemimpin UMNO berkenaan tidak mengikut proses yang telah ditetapkan.
"Siapa yang kata kita tidak ikut proses sepatutnya, itu tidak betul kerana perkara ini telah dibincangkan dan rekomendasi berkenaan datang daripada Lembaga Disiplin," tegasnya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, kesemua ahli UMNO yang berdepan tindakan pemecatan dan penggantungan masih boleh membuat rayuan kepada Lembaga Disiplin.
"Mereka masih ada peluang untuk membuat rayuan kepada Lembaga Disiplin dan lembaga tersebut boleh mengemukakan semula rekomendasi kepada MKT," ujarnya. -Sinar Harian
#Isham Jalil #Lembaga Disiplin UMNO #Ketua Penerangan UMNO #pembersihan umno
;