Pemberian khas 40 kepada Sabah diharap dilaksanakan sepenuhnya - Azis Jamman

Mirlen Axtius
Januari 4, 2023 19:41 MYT
Pemberian khas 40 peratus berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah diharap dapat dilaksanakan sepenuhnya.
KOTA KINABALU: Pemberian khas 40 peratus berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah diharap dapat dilaksanakan sepenuhnya, kata Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman.
Sambil menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azis berkata ia perlu disusuli dengan pelaksanaan semua isi kandungan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutama baki empat perkara yang telah dipersetujui secara dasar di peringkat kabinet ketika kerajaa Pakatan Harapan (PH) Plus 2018.
Menurutnya, empat itu merangkumi Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu (JKRS) dalam Membincangkan cadangan Pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) mengenai tafsiran 'Persekutuan' dalam Perlembagaan Persekutuan serta isu berkaitan Mahkamah Tinggi Borneo.
"Kedua, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak (JKSS) yang membincangkan perkara berkaitan keselamatan negeri seperti isu sempadan negeri Sarawak, isu imigresen seperti IMM13, Burung-Burung, Kad Banci dan PATI di negeri Sabah.
“Ketiga, Jawatankuasa Kerja Sosio Ekonomi (JKSE) yang mengutamakan keperluan infrastruktur asas di Sabah dan Sarawak seperti jalan raya, air, elektrik, kesihatan, pendidikan, digital, kemiskinan dan perumahan rakyat termiskin.
"Manakala yang keempat pula adalah, Jawatankuasa Perundingan Bersama Mengenai Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan Joint Consultative Committee (JCC), iaitu berkenaan semakan semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan Jadual 10," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Sementara itu, Azis berkata penurunan kuasa kepada kerajaan Sabah dan Sarawak bagi projek bernilai RM50 juta sangat disambut baik kerana ianya menandakan Kerajaan Pusat serius dalam merealisasikan perjanjian antarabangsa ini.
Pada masa sama, Azis berkata komitmen Anwar yang berjanji akan menaikkan peruntukan khusus untuk Sabah dan Sarawak dalam belanjawan akan datang wajar dipuji.
#Warisan #Mohd Azis Jamman #pemberian khas #kabinet
;