Pembentukan satu gabungan pembangkang semakin 'rapat' - Saifuddin Abdullah
Hafiz Marzukhi
Oktober 2, 2016 14:29 MYT
Oktober 2, 2016 14:29 MYT
Parti-parti pembangkang dalam negara semakin rapat ke arah pembentukan satu gabungan besar untuk memastikan mereka dapat bertanding 'satu lawan satu' dengan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara ini wajar dilakukan kerana ianya sesuatu yang dikehendaki rakyat.
"Penyokong kita ingin pembangkang bekerjasama dalam satu gabungan yang kuat," kata beliau dalam satu kenyataan melalui aplikasi WhatsApp.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sebuah program di Kemaman, Terengganu pada Sabtu.
Mustafa berkata, PAS sedia berbincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR untuk tidak bersama UMNO dalam PRU yang seterusnya.