"Pembentukan Kerajaan Perpaduan hanya untuk balas budi Zahid" - Muhyiddin

Hilmi Malik
Januari 30, 2023 21:20 MYT
Masih belum terlambat untuk Anwar memperbaiki keadaan ujar Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak seperti apa yang dijanjikan khususnya dalam soal integriti dan tatakelola yang baik.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pembentukan Kerajaan Perpaduan itu hanya sekadar untuk membalas budi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membantu Anwar menjadi Perdana Menteri.
“Ini dilakukan semata-mata kerana membalas budi Zahid yang berjaya memaksa ahli-ahli Parlimen BN memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.
“Bukan setakat itu sahaja, janji Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan juga dibuang ke laut apabila Anwar melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Kewangan. Ini satu lagi kesilapan Anwar yang tanpa segan silu bercakap tak serupa bikin.
“Yang terbaharu apabila beliau melantik anaknya sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Tambah Muhyiddin, tindakan itu juga jelas menunjukkan Ahli Parlimen Tambun itu mengkhianati semangat perjuangan reformasi yang didukung penyokongnya sendiri meskipun belum mencecah tempoh 100 hari pemerintahan.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh bahkan menyifatkan perbuatan Anwar yang melantik anak selaku penasihat itu tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.
“Masih belum terlambat untuk Anwar memperbaiki keadaan. Letak jawatan sebagai Menteri Kewangan. Fokus kepada tugas sebagai Perdana Menteri lebih-lebih lagi ketika rakyat dan negara sedang menghadapi waktu yang sukar.
“Lagipun skandal 1MDB tercetus apabila Perdana Menteri pada masa itu, (Najib Razak) adalah juga Menteri Kewangan. Anwar tidak patut mengulangi kesilapan yang sama,” jelasnya lagi.
Selain itu, bekas Perdana Menteri itu juga berpendirian Zahid wajar diarah untuk mengambil cuti rehat berikutan kes mahkamah yang dihadapinya masih belum selesai.
Kedudukan itu katanya akan mencalarkan imej negara apabila seorang Timbalan Perdana Menteri sedang berhadapan kes mahkamah sewaktu membuat lawatan kerja rasmi di negara luar.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa Nurul Izzah agar segera meletak jawatan selaku penasihat Perdana Menteri selain menyifatkan wanita itu masih mempunyai potensi yang besar dalam karier politiknya.
#Anwar Ibrahim #Muhyiddin Yassin #Kerajaan Perpaduan #Zahid Hamidi
;