Pembentukan Kabinet: Pengumuman akan dibuat PM ke-10 esok?
Hasimi Muhamad
Disember 1, 2022 22:37 MYT
Disember 1, 2022 22:37 MYT
SELEPAS seminggu Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, tumpuan kini terarah kepada barisan Kabinet yang bakal mengganggotai pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Debaran semakin dirasai apabila khabar angin bertiup kencang bahawa senarai Kabinet baharu bakal diumumkan Anwar petang esok.
Astro AWANI turut difahamkan, majlis angkat sumpah tidak akan berlangsung dengan segera, tarikh majlis berkenaan hanya akan ditentukan kelak.
Anwar, yang akan pulang ke Tambun, Perak (iaitu kerusi Parlimen yang dimenanginya pada pada Pilihan Raya Umum ke-15) turut dijadual menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Perak pada jam 10 pagi, esok.
Beliau akan menghadiri walkabout dan sesi ramah mesra di Pasar Tanjung Rambutan selepas itu.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, menegaskan saiz Kabinet di bawah pentadbirannya akan dikecilkan, selain tidak memberi ruang kepada mereka yang dilabel sebagai 'Kluster Mahkamah'.
Bagaimanapun, beberapa nama yang bakal mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri, portfolio kedua tertinggi dalam negara, dan jawatan penting lain termasuk Kementerian Kewangan, masih menjadi teka-teki.
Presiden PKR itu juga mengesahkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kemungkinan besar diberikan kepada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai parti induk dalam Kerajaan Perpaduan.
Pembentukan barisan Jemaah Menteri selepas pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diangggap penting dalam memulihkan semula ekonomi negara, kos sara hidup serta kestabilan politik.
Selepas PRU15, Parlimen buat pertama kali dalam sejarah politik negara tergantung selepas tiada mana-mana parti atau gabungan yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
SIAPA BAKAL MENGANGGOTAI KABINET PERPADUAN?
Ketika ini juga, timbul desas-desus mengenai beberapa nama yang dikhabarkan akan menganggotai kabinet Kerajaan Perpaduan.
Siapa pun yang bakal mengisi barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan ini, harapan rakyat adalah satu untuk memastikan negara kembali berada di landasan yang baik.
Ikuti perkembangan menjelang pembentukan Kabinat dalam tempoh terdekat di saluran 501 dan semua platform Astro AWANI.