Pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan: Sidang media PM Anwar pukul 8.15 malam ini
Astro Awani
Disember 2, 2022 17:52 MYT
Disember 2, 2022 17:52 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengumumkan Kabinet Kerajaan Perpaduan pada pukul 8.15 malam ini.
Pengumuman tersebut akan dibuat dalam satu sidang media di sini, sekali gus menjawab teka-teki individu yang akan dilantik membarisi jemaah menteri.
"Insya-Allah jam 8.15 malam ini saya akan mengumumkan saf kepimpinan baharu Kabinet Kerajaan Perpaduan. Nantikan," kata Perdana Menteri dalam kemas kini di laman Facebook, sebentar tadi.
Sebelum itu, pengamal media difahamkan telah mula berkumpul di Pejabat Perdana Menteri seawal jam 4 petang bagi menghadiri sidang media berkenaan.
Anwar ketika berucap pada program Solat Jumaat dan Kenduri Rakyat di Ipoh, hari ini menegaskan tidak akan melantik ramai menteri dan duta bertaraf menteri dalam barisan Kabinet yang dipimpinnya.
Sebaik Jemaah Menteri sudah disusun, beliau menambah akan memanggil kesemua menteri tersebut untuk menghadiri mesyuarat khas pada Isnin ini.
Beberapa jawatan penting menjadi tumpuan dalam pengumuman berkenaan khususnya melibatkan posisi Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan portfolio lain.
Dalam perkembangan lain, bekas Ketua Menteri Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu secara berseloroh memuat naik pautan di laman Twitternya bertanyakan 'waktu' di Putrajaya ketika ini.