Pembentukan barisan Kabinet baharu perlu diterima semua - Mat Said
Nur Fazlizai Ali
Ogos 29, 2021 10:16 MYT
Ogos 29, 2021 10:16 MYT
KUALA NERUS: Pembentukan barisan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan sebahagiannya mengekalkan wajah yang sama perlu diterima.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ketika ini kerajaan yang ditubuhkan tidak mempunyai majoriti besar di dalam Parlimen.
Katanya, situasi itu tidak dialami parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) sepanjang pemerintahan sebelum tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
"Sama ada dikatakan kitar semula tetapi kebanyakan orang yang sama sebab kita ada masalah, kita bukan kerajaan yang kukuh, kita ada beberapa parti.
"Kita perlu bertolak ansur, perlu sama rata," katanya.
Beliau berkata kesemua pemimpin perlu berkorban dengan memfokuskan masalah rakyat menangani isu COVID-19, ekonomi, pengangguran dan peningkatan kes bunuh diri.
Terdahulu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pengumuman barisan Kabinet oleh Perdana Menteri menghampakan rakyat kerana masih membariskan Menteri dan Timbalan Menteri yang sering dikritik dan dianggap gagal sebelum ini.
Anwar menjelaskan, rakyat melihat senarai Kabinet yang diumumkan itu hanyalah 'kitar semula' hingga ia dijadikan bahan sindiran di media sosial.