Pembentangan kajian persempadanan pilihan raya hari ini

Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Mac 27, 2018 06:31 MYT
Pembentangan tersebut dijangka pada pukul 11.30 pagi, sejurus selesai Sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan yang akan bermula pada pukul 10 pagi. -Gambar fail
Tarikh yang ditetapkan untuk Laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Kajian Semula Persempadanan mengenai Syor-Syor yang dicadangkan bagi Bahagian- Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu Kali Keenam Tahun 2018 dibentangkan di Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat ketetapan itu pada Khamis lalu selepas laporan itu bersama draf bagi Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri- Negeri Tanah Melayu) 2018, (Kertas Statut ST.28 Tahun 2018) diserahkan kepada semua ahli-ahli Parlimen.
Pembentangan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan individu yang dijangka memegang mandat bagi membentangkan syor-syor tersebut untuk diluluskan majoriti mudah Dewan Rakyat.
Pembentangan tersebut dijangka pada pukul 11.30 pagi, sejurus selesai Sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan yang akan bermula pada pukul 10 pagi.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat bertarikh 28 Mac, pembentangan laporan tersebut berada pada giliran pertama dengan Perdana Menteri sebagai individu yang akan mencadangkan usul tersebut.
Bagaimanapun, Perdana Menteri masih boleh meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) seperti Datuk Seri Azalina Othman Said selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap SPR untuk mengemukakan cadangan itu.
Bahas dan Undi
Sesi perbahasan terhadap usul tersebut dijangka akan berlanjutan sehingga lewat petang mahupun sehingga malam sebelum undian sama ada menerusi sebulat suara atau belah bahagian dilakukan.
Namun, tiga Ahli Parlimen dari Perak, Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping) dan V. Sivakumar (DAP-Batu Gajah) yang digantung dari menghadiri Dewan Rakyat selama 10 hari nampaknya tidak akan berbahas serta membuat pengundian.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Pandikar ketika ditemui media di Parlimen semalam.
“Bukankah sudah diberi peluang kepada mereka sama ada mahu meminta maaf atau tidak, tetapi mereka masih bertegas, bahkan mereka mahu mengemukakan usul.
“Mereka sudah digantung 10 hari. Ini bermakna mereka nak masuk Dewan Rakyat pun tidak boleh," katanya.
Luar Parlimen
Bahang pilihan raya yang memuncak menerusi pembentangan laporan kajian persempadanan itu bukan sahaja dirasai di Dewan Rakyat.
Di luar Parlimen tidak kurangnya apabila Bersih 2.0 dilaporkan akan mengadakan perhimpunan bagi menyerahkan memorandum kepada Datuk Seri Najib dan Pandikar Amin.
Memorandum itu adalah bagi membantah cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Bukan itu sahaja, seteru Bersih 2.0, Gerakan Baju Merah menerusi ketuanya, Datuk Seri Jamal Md Yunos memberi amaran tidak teragak-agak untuk mengerahkan 10,000 ahlinya untuk menghalang tindakan Bersih 2.0 itu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan polis akan bertindak mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 terhadap peserta perhimpunan itu.
Beliau pada masa sama akui sebarang usaha mengadakan perhimpunan hanya akan menimbulkan kegusaran daripada segi keselamatan.
Astro AWANI akan membawakan pembentangan itu secara langsung di saluran 501 Astro AWANI, laman web astroawani.com serta di aplikasi media sosial, Facebook Astro AWANI bermula pukul 10 pagi.
#Dewan Rakyat #Jamal Md Yunos #Kajian Semula Persempadanan #Najib Razak #Nga Kor Ming #Pandikar Amin Mulia #persempadanan semula #pilihan raya #Suruhanjaya Pilihan Raya
;