Pembelian undi tidak kira apa istilah tetap satu kesalahan - G Manimaran

Irwan Muhammad Zain
Januari 24, 2023 16:37 MYT
Menurut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, aktiviti pembelian undi itu berlaku sebelum, semasa dan selepas pilihan raya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Apa saja bentuk pembelian undi tidak kira apa istilah yang digunakan jika bertujuan mendapatkan undi atau tidak mengundi calon lawan merupakan satu kesalahan menurut Seksyen 8 dan 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya, kata penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, Dr G. Manimaran.
Manimaran berkata, menurut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, aktiviti pembelian undi itu berlaku sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.
Kesalahan pembelian undi itu, kata beliau, bukan hanya melibatkan pemberian wang semata-mata tetapi menurut seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya, jamuan dan tiket juga dikira elemen rasuah membeli undi.
"Di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya ada disebut makanan, jamuan, penjamuan, dalam akta ini disebut penjamuan, penjamuan itu jamuan.
"Pihak yang membuat petisyen perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa jamuan itu diberi, duit itu diberi atau tiket itu diberi.
"Tiket ada disebut dalam akta ini, tiket kapal terbang atau lain-lain, ia diberi dengan tujuan mempengaruhi seseorang untuk mengundi seseorang calon," katanya kepada Astro AWANI.
Sehubungan itu, Manimaran berpendapat, sudah tiba masanya dijelaskan rasuah yang berlaku ketika pilihan raya disebabkan timbul bermacam istilah seperti sedekah yang ditafsirkan oleh segelintir parti politik.
Bahkan, kata beliau, sudah sampai masanya juga diwujudkan undang-undang berkaitan sumbangan politik dan pilihan raya.
Jelas Manimaran, buat masa ini batasan perbelanjaan pilihan raya hanya merangkumi apa yang dibelanjakan oleh seseorang calon.
"Ada parti yang akan berbelanja bagi pihak calon iaitu poster dan sebagainya ataupun buku-buku manifesto yang dicetak.
"Ada juga pihak ketiga seperti rakan-rakan calon, badan-badan bukan kerajaan atau syarikat-syarikat tertentu yang mengadakan aktiviti, belanja makanan untuk program itu dan ini.
"Perkara itu tidak termasuk dalam perbelanjaan calon, ia merupakan sesuatu yang kabur buat masa ini," katanya.
Mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, rasuah disifatkan berlaku apabila calon atau mana-mana individu membeli undi, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dengan memberi atau menawarkan wang, hadiah, pekerjaan atau pinjaman ketika atau selepas pilihan raya.
Sesiapa yang didapati bersalah boleh dipenjara maksimum dua tahun, denda antara RM1,000 dan RM5,000, serta penjara sehingga setahun.
Calon juga boleh hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan juga kehilangan hak untuk bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun jika mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu.
#sedekah pilihan raya #Rasuah #dana politik #manimaran
;