Pembangkang umpama 'langau politik' - Salahuddin

Irwan Muhammad Zain
Mei 21, 2023 15:07 MYT
Salahuddin menegaskan, pembangkang sepatutnya menggunakan sesi sidang parlimen yang akan bermula esok dengan mengemukakan usul undi tidak percaya jika benar sudah mempunyai cukup sokongan. - Fail/Bernama
PUTRAJAYA: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan pembangkang umpama ‘langau politik’ kerana tidak membawakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Salahuddin menegaskan, pembangkang sepatutnya menggunakan sesi sidang Parlimen yang akan bermula esok dengan mengemukakan usul undi tidak percaya jika benar sudah mempunyai cukup sokongan.
Jelas beliau, perdana menteri telah mencabar secara terbuka untuk pembangkang membawakan usul undi tidak percaya di Parlimen.
“Datuk Seri Anwar dengan berani dan secara terbuka telah mencabar pembangkang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen.
“Sepatutnya mereka (pembangkang) menggunakan peluang pada sidang Parlimen dengan membawa usul tersebut.
“Jadi bila mereka tidak membawa usul undi tidak percaya ini, saya bolej sifatkan mereka umpama ‘langau-langau’ politik sahaja,” kata kepada media selepas merasmikan sambutan Hari Metrologi 2023 pada Ahad.
Sebelum ini terdapat laporan yang mendakwa terdapat usaha pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin PN menafikan terdapat gerakan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar ini.
#Salahuddin Ayub #langau politik #usul undi tidak percaya #Anwar Ibrahim
;