Pembangkang tidak bersungguh kekang penyebaran berita palsu - Pemuda MIC

Astro Awani
Mac 30, 2018 15:22 MYT
SIVARRAAJH: Tindakan pembangkang sudah boleh diramal menjelang pembubaran Dewan Rakyat yang dijangka akan berlaku dalam tempoh terdekat ini. - Gambar fail
Tindakan pembangkang yang lantang mengkritik usaha kerajaan untuk memperkenalkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang sedang dibentang di Dewan Rakyat menunjukkan mereka tiada kesungguhan untuk mengekang penyebaran berita palsu dan tidak benar.
Ketua Pemuda MIC Datuk Sivarraajh Chandran berkata, tindakan itu sudah dijangka kerana pembangkang akan terus memainkan pelbagai isu untuk mempengaruhi minda pengundi supaya membenci kerajaan sedia ada serta kepemimpinan Barisan Nasional (BN).
Jelasnya, tindakan pembangkang itu sudah boleh diramal menjelang pembubaran Dewan Rakyat yang dijangka akan berlaku dalam tempoh terdekat ini.
"Usaha ini termasuk menyebarkan dan membawa pelbagai berita palsu dan tidak benar bertujuan untuk memburuk-burukkan kepemimpinan BN," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
BACA: Akta Antiberita Tidak Benar jaga kepentingan awam, lindungi rakyat - Salleh
BACA: FAQ: Justifikasi RUU Antiberita Tidak Benar 2018
RUU itu telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada Isnin.
Cadangan hukuman penjara yang dibuat di bawah RUU itu juga akan dipinda daripada 10 tahun kepada enam tahun.
Selain itu, pindaan hukuman untuk kesalahan di bawah peruntukan Fasal 4 dan 5 RUU itu dibuat kerajaan selepas mengambil kira pandangan beberapa pihak termasuk ahli Parlimen.
Dalam pada itu Sivarraajh menjelaskan, umum mengetahui, perkembangan teknologi masa kini menunjukkan rakyat bebas menerima palbagai maklumat tanpa kawalan terutama yang disebar menerusi internet atau dalam talian.
"Tanpa kawalan yang tegas menerusi peruntukan undang-undang yang lebih lengkap, sukar bagi pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan atau menahan mana-mana individu yang didapati secara jelas telah menyebarkan berita palsu dan tidak benar bertujuan untuk membentuk persepsi negatif terhadap individu lain termasuk musuh politiknya.
"Sepatutnya pengenalan akta ini disokong oleh pembangkang kerana ia juga akan membantu melindungi mereka dari terus 'difitnah' oleh pihak tertentu termasuk lawan politiknya. Malah ia juga membebaskan rakyat terus dinodai dengan hebahan pelbagai bahan berita yang tidak benar dan tidak berfakta.
"Namun, pembangkang tetap dengan pendiriannya untuk terus menentang apa saja akta yang diperkenalkan kerajaan walaupun ia sebenarnya membawa manfaat kepada rakyat, di samping melindungi kestabilan politik dan ekonomi negara," jelasnya.
Justeru katanya, pembangkang wajar bersikap rasional dan harus mengakui pengenalan akta seumpama itu sebenarnya turut melindungi mereka daripada sebarang fitnah dan tuduhan negatif yang mungkin dilemparkan pihak lawannya.
"Pengundi muda juga tidak seharusnya mengikut propaganda penentangan yang sedang disebarkan pembangkang terhadap pelaksanaan akta sedemikian.
"Berfikir secara rasional dan utamakan kesejahteraan rakyat. Orang muda harus melawan sebarang penyebaran berita palsu dan tidak benar terutama di media sosial kerana tanpa kawalan, ia boleh merosakkan minda dan pemikiran kita semua.
"Kepada pemimpin pemuda BN khsusunya pemuda MIC, bangkit dan terus berusaha untuk melawan dakyah yang sedang disebarkan pembangkang untuk cuba memanipulasikan pelaksanaan akta ini," ujarnya.
Perbahasan RUU Antiberita Tidak Benar 2018 akan diteruskan pada sesi Dewan Rakyat pada minggu hadapan selepas sesi berakhir pada petang Khamis.
#Akta Antiberita Tidak Benar 2018 #Barisan Nasional #Dewan Rakyat #fake news #Malaysia Memilih #MIC #Parlimen #Salleh Said Keruak #Sivaraajh Chandran
;